Perak siasat dakwaan pengabaian bahasa kebangsaan pada papan tanda di Ipoh

Perak siasat dakwaan pengabaian bahasa kebangsaan pada papan tanda di Ipoh

am@hmetro.com.my

Ipoh: Kerajaan Perak akan meneliti dan menyiasat dakwaan penggunaan bahasa kebangsaan di papan tanda premis sekitar Ipoh semakin dipinggirkan, susulan hantaran tular di media sosial yang menyifatkan keadaan itu sebagai ‘pelacuran bahasa’.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching menegaskan meskipun penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan tidak menjadi kesalahan, ia tetap tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT), yang mewajibkan bahasa Melayu diberikan keutamaan dari segi saiz, nisbah, dan kedudukan dalam mana-mana papan tanda atau iklan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu itu dan akan memastikan sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturan sedia ada disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.

“Setakat ini, di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, peraturan tentang papan tanda dan sebagainya memang ada peraturan yang jelas di mana bahasa kebangsaan perlu diutamakan dan jika perlu, bahasa-bahasa lain boleh disertakan. Cuma dari segi nisbah saiz, bahasa kebangsaan mesti dalam saiz yang dominan.

“Jadi, kalau ada aduan yang dibangkitkan, kami akan ambil tindakan untuk menyiasat dan mengetahui isu sebenar, sama ada ia membabitkan pelanggaran peraturan sedia ada, bagi memastikan peraturan yang ada dipatuhi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Perak, di sini, petang tadi.

Sandrea berkata demikian sebagai mengulas hantaran yang ditularkan di Facebook yang mendakwa berleluasa ‘pelacuran’ bahasa Melayu di Ipoh, seolah-olah tiada penguatkuasaan undang-undang serta amalan ‘tutup mata’ oleh pihak berkuasa.

Sandrea berkata, kerajaan negeri mengambil maklum terhadap isu yang ditularkan itu dan akan bertindak untuk meninjau serta menyiasat perkara berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku bagi premis yang wujud di kawasan kolonial, iaitu sewaktu undang-undang mengenai penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda belum wujud.

“Mungkin bangunan itu sudah lama wujud, iaitu ketika belum ada akta mengenai bahasa kebangsaan. Jadi, kita ambil perhatian dan peduli tentang keperluan untuk diselaraskan semula.

“Cuma kita jangan sampai menjadi terlalu berfikiran sempit dengan menganggap ini sebagai bentuk tidak menghormati bahasa kebangsaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top