Perak tidak terjejas keputusan Tesla batal bina kilang

Perak tidak terjejas keputusan Tesla batal bina kilang

am@hmetro.com.my

Kuala Kangsar: Persediaan bagi negeri Perak dalam menerima pelaburan asing tidak terjejas dengan keputusan Tesla Inc untuk membatalkan pembinaan kilang di Thailand dan menilai semula rancangan pelebaran perniagaan mereka di Asia Tenggara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia susulan negeri Perak langsung tidak terbabit dengan rancangan sebarang projek pembinaan kilang oleh gergasi industri kenderaan elektrik (EV) itu.

Menurutnya, pelaburan sedia ada di Perak seperti oleh Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim diteruskan seperti biasa.

“Saya difahamkan (rancangan pelaburan) Tesla sepatutnya di Kedah, kita Perak tak terbabit dengan rancangan untuk pembinaan kilang Tesla.

“Kita hanya (dapat) pelaburan daripada Geely di AHTV Tanjung Malim, jadi yang mengenai Tesla ini saya ingat kami (Perak) tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata mesyuarat akan diadakan pada September ini antara kerajaan negeri bersama Geely bagi meluluskan rangka pelan induk daripada pihak Geely yang akan membuat pelaburan RM40 bilion di AHTV bagi memuktamadkan sekali gus menyokong pembangunan fasiliti di kawasan itu.

Katanya, manakala pelaburan mega lain seperti bagi projek Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Lumut; pengeluaran dan pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika di kawasan Silver Valley Technology Park (SVTP)di Kanthan; serta projek kilang penghasilan produk hiliran unsur nadir bumi (REE) oleh syarikat dari Korea setakat ini berjalan lancar.

“Geely sudah hantar rangka pelan induk untuk pembangunan mereka di AHTV dan bulan September ini kita ada satu mesyuarat bagi meluluskan ‘layout’ (rangka) terbabit.

“Yang lain seperti RM72 bilion pelaburan bagi LuMIC, syarikat silikon juga daripada China di SVTP, dan daripada Korea untuk kilang penghasilan magnet super (produk hiliran REE).

“Setakat ini saya rasa okey, (kerana) kita tak ada dengar cerita orang melarikan diri lah. Sebab kita membuat persiapan untuk menerima pelabur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top