mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Mualaf berperanan besar sebagai jambatan perpaduan rakyat Malaysia, khususnya dalam menangkis salah faham Islam hanya milik sesuatu bangsa.
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Al Khaadem, Datuk Dr Sheikh Hussain Yee berkata, salah faham yang mengaitkan Islam dengan bangsa tertentu perlu diperbetulkan segera kerana menjadi punca kekeliruan dalam masyarakat.
“Contohnya apabila saya memeluk Islam pada tahun 1960-an ibu saya kata dia hilang seorang anak kerana anggap bila masuk Islam, saya jadi Melayu. Saya jelaskan, saya tetap anak dia, cuma agama saja berubah.
“Dalam kalangan orang Muslim, orang Melayu, kadang-kadang saya pun keliru. Bila kawan saya perkenalkan saya sebagai seorang Muslim pada keluarganya di satu kampung, akhirnya keluarga dia pun tanya bila saya masuk Melayu? Di mana letaknya salah faham itu?
“Islam bukan agama milik satu bangsa. Bukan milik Arab atau Melayu, tetapi milik Allah untuk seluruh manusia,” katanya kepada media sempena Persidangan Komuniti Muslim Baharu 2025 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Sheikh Hussain berkata, atas faktor itu pihaknya bertanggungjawab meneruskan perjuangan untuk menangani kekeliruan berkenaan.
“Cara terbaik untuk menghapuskan salah faham ini ialah dengan menunjukkan contoh teladan, bukan sekadar kata-kata. Kalau kita dedahkan kebenaran dengan contoh baik, insya-Allah masyarakat akan nampak keindahan Islam.
“Selain itu, komen sesuatu perlu berilmu dan bukan mengikut emosi kerana tanpa ilmu kita boleh timbulkan banyak fitnah dan salah faham.
Mengenai persidangan itu, Sheikh Hussain berkata, program itu menekankan peranan unik saudara baharu sebagai jambatan perpaduan semula jadi dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Sejak kebelakangan ini kita lihat banyak perpecahan. Mualaf berada di tengah-tengah ada keluarga belum Islam, ada keluarga sudah Muslim.
“Mereka boleh jadi penghubung untuk beri kesedaran betapa pentingnya perpaduan supaya negara terus maju dan dihormati,” katanya.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 1992, Pertubuhan Al Khaadem yang diterajuinya sudah mengislamkan dan membimbing lebih 3,000 individu termasuk di Malaysia, Hong Kong, Filipina, Australia dan United Kingdom selain aktif menyalurkan bantuan kepada ratusan keluarga miskin setiap minggu.
Persidangan Komuniti Muslim Baharu 2025 anjuran New Muslims Community (NMC) di bawah naungan Pertubuhan Al Khaadem itu dihadiri lebih 400 peserta termasuk pemimpin komuniti, saudara baharu, aktivis serta masyarakat umum daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan politik.
Sepanjang persidangan, peserta mengambil bahagian dalam sesi perbincangan panel, perkongsian kisah peribadi serta cabaran dihadapi saudara baharu dan forum interaktif membabitkan topik dinamika kekeluargaan bagi saudara baharu, usaha membina komuniti sokongan dan pendekatan praktikal untuk mengukuhkan perpaduan sosial di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd