Perancangan Xisco menjadi

Perancangan Xisco menjadi

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Pemain mengikut perancangan yang diatur dengan baik”.

Itu kata pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz yang mengakui gembira dengan kejayaan anak buahnya mempertahankan Piala FA buat kali keempat berturut-turut selepas membelasah Sabah FC 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

“Saya gembira dengan kejayaan pemain. Ini semua hasil usaha keras pemain yang mengikut perancangan dengan sebaiknya.

“Terima kasih kepada Bos (pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memberi peluang serta terima kasih kepada pemain yang bekerja keras untuk menghadiahkan kejuaraan ini,” katanya.

Pada aksi final itu, JDT turun dengan misi mengekalkan kejuaraan dan mereka menepati ramalan apabila langsung tidak memberi peluang buat lawan.

Kesungguhan JDT untuk menang terserlah apabila seawal minit kelapan mendahului hasil tandukan kemas Jonathan Silva sebelum ketua pasukan Sabah FC, Rawilson Batuil tertolak bola ke gawang sendiri di minit 19.

Jaringan JDT terus bertambah kali ini giliran penyerang dari Brazil, Jairo da Silva yang melayangkan badan untuk menanduk selepas memanfaatkan sepakan sudut yang diambil Oscar Aribas.

Bersambung babak kedua, Sabah terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan situasi itu dimanfaatkan sebaiknya untuk dua gol lagi, masing-masing menerusi Aribas di minit 64 dan Manuel Hidalgo di hujung permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top