Perancis belasah Namibia 96-0, pecah rekod Piala Dunia

Perancis belasah Namibia 96-0, pecah rekod Piala Dunia

MARSEILLE, France: Perancis memahat rekod Ragbi Piala Dunia dengan mencatat 14 try ketika membelasah Namibia 96-0 dalam perlawanan berat sebelah awal pagi tadi.

Begitupun kemenangan itu terpaksa dibayar pada harga mahal selepas kapten mereka, Antoine Dupont mengalami kecederaan serius.

Dupont dikasari oleh ketua pasukan Namibia, Johan Deysel beberapa minit memasuki babak kedua dan segera meninggalkan padang sebelum dibawa ke hospital kerana disyaki patah tulang pipi.

Dia hampir pasti akan terlepas perlawanan terakhir Kumpulan A, menentang Itali, dua minggu dari sekarang.

Antoine Dupont disyaki patah tulang pipi akibat dikasari lawan.

Tuan rumah melakukan 12 pertukaran daripada skuad yang menumpaskan Uruguay 27-12 minggu lalu dengan membawa kembali nama-nama besar untuk menguasai perlawanan di Velodrom Stade Marseille.

Namibia yang membariskan ramai pemain muda kurang pengalaman nyata gugup beraksi di depan stadium yang dipenuhi hampir 64,000 penyokong Perancis.

“Malam yang sukar dan dengan cara yang agak memalukan.

“Saya dapat lihat dalam 20 minit pertama pemain-pemain kami agak terkial-kial. Mungkin perlawanan in terlalu besar kerana sesetengah pemain melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan tidak mematuhi rancangan.

“Setiap tendangan yang buruk telah dihukum, kami tidak dapat memberikan tekanan dan apabila kami mendapat bola, kami hilang hala tuju. Asas kami tidak cukup bagus malam ini dan pemain benar-benar menyedihkan,” kata jurulatih Namibia, Allister Coetzee.

Namibia sudah ‘mati’ pada separuh masa apabila ketinggalan 54-0 tetapi keadaan menjadi lebih buruk lima minit selepas perlawanan dimulakan semula apabila kapten Deysel dilayangkan kad merah kerana pukulan tinggi ke atas Dupont. – AGENSI