Istanbul: Perancis boleh mengiktiraf Negara Palestin pada Jun semasa persidangan antarabangsa yang dipengerusikan bersama dengan Arab Saudi, menurut Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Rabu.
“Kita mesti bergerak ke arah pengiktirafan, dan kita akan lakukannya dalam beberapa bulan akan datang,” kata Macron dalam satu wawancara yang disiarkan di saluran France 5, lapor Agensi Anadolu (AA).
Beliau menjelaskan bahawa persidangan yang dirancang itu dijangka berlangsung di New York, bertujuan memajukan usaha pelaksanaan penyelesaian dua negara, dan berpotensi menjadi titik perubahan dalam konflik Israel-Palestin.
“Matlamat kami adalah untuk mempengerusikan persidangan ini bersama Arab Saudi pada Jun, dan kami mungkin akan memuktamadkan langkah pengiktirafan bersama oleh beberapa pihak,” kata Macron.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah desakan antarabangsa yang semakin meningkat untuk penyelesaian politik terhadap konflik di Gaza — dengan lebih 50,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023 — serta krisis Israel-Palestin secara keseluruhan.
Pada Februari 2024, Macron pernah menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap negara Palestin bukanlah satu isu tabu bagi Perancis, malah menyifatkannya sebagai satu keperluan moral dan politik.
“Kita berhutang kepada rantau ini, yang mendambakan kebebasan daripada ejen kekacauan dan pembalas dendam,” katanya ketika itu.
Setakat ini, 147 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah mengiktiraf Negara Palestin.
Pada Mei tahun lalu, Sepanyol, Ireland dan Norway turut menyertai senarai itu, menjadikan jumlah negara Kesatuan Eropah (EU) yang memberi pengiktirafan kepada Palestin kepada 10 negara — termasuk Bulgaria, Cyprus, Malta, Hungary, Poland, Sweden dan Romania.
Beberapa negara Eropah lain — khususnya di Eropah Timur seperti Ukraine, Albania, Serbia, Montenegro dan Belarus juga mengiktiraf negara Palestin.
© New Straits Times Press (M) Bhd