Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan langkah menaikkan upah serta elaun jururawat sebagai usaha mengekang fenomena ‘perang gaji’ dan penghijrahan tenaga kerja ke luar negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata selain meningkatkan pengambilan jururawat baharu, penambahbaikan dari segi remunerasi termasuk elaun ‘post-basic’ turut menjadi keutamaan dalam Program Kejururawatan.
“Kita tahu negara jiran menawarkan remunerasi yang lebih tinggi, jadi kita perlu ambil tindakan segera.
“Namun, harus diingat tiada jalan pintas untuk atasi masalah ini kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk satu kohort graduan diploma atau ijazah tamat pengajian,” katanya, hari ini.

Beliau mengakui isu kekurangan jururawat bukan perkara baharu, sebaliknya berpunca daripada faktor legasi termasuk pelaksanaan moratorium dan penutupan beberapa Institut Latihan KKM (ILKKM) sebelum ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan negara kini berdepan kekurangan jururawat secara menyeluruh, termasuk yang mempunyai kepakaran ‘post-basic’, di kedua-dua sektor awam dan swasta.
“Jadi kita saksikan hari ini apa yang diistilahkan sebagai ‘perang gaji’. Saya kira ini satu tanda jelas berlaku perebutan.
“Perkara ini telah kita bincangkan dengan Pengarah Kejururawatan dan beberapa sesi libat urus telah diadakan dengan pihak swasta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan KKM akan terus mempergiat usaha bagi membendung aliran keluar jururawat, melibatkan sektor awam dan swasta.
“Jadi kita akan terus adakan perbincangan untuk atasi perkara ini,”ujar beliau.
Terdahulu, media melaporkan kajian MBSB Research menunjukkan kadar kekosongan jawatan jururawat di Malaysia berada pada tahap kritikal antara 15 hingga 18 peratus tahun ini.
Artikel lain: KKM sedia pertimbang ambil ‘nurse’ dari luar negara atasi masalah kekurangan jururawat
Situasi itu mendorong penyedia perkhidmatan kesihatan swasta bersaing secara agresif melalui kenaikan gaji dan tawaran insentif tambahan, termasuk bonus kesetiaan, bagi mengekalkan jururawat daripada berhijrah ke negara seperti Singapura dan Asia Barat.



