Perang Iran-Israel, 4 penuntut Malaysia selamat

Perang Iran-Israel, 4 penuntut Malaysia selamat

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Empat penuntut Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Iran dilaporkan selamat biarpun perang antara negara itu dan Israel kian sengit.

Duta Malaysia ke Iran, Khairi Omar berkata, empat pelajar itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 29 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak kedutaan.

“Tiga pelajar Malaysia berada di Qom manakala seorang lagi berada di Isfahan, masing-masing sudah dihubungi dan berada dalam keadaan selamat.

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus mengikut rapat perkembangan dari semasa ke semasa. “Ketika ini keadaan masih terkawal dan masyarakat tempatan juga menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Mengulas perkembangan sama, Khairi berkata, semua rakyat Malaysia di Iran juga diminta sentiasa berwaspada.

Katanya, mereka dinasihatkan supaya tidak meninggalkan kediaman masing-masing jika tiada urusan penting. “Ini kerana, selain fasiliti nuklear dan ketenteraan Iran, serangan Israel juga mensasarkan sasaran tertentu yang tidak diketahui.

“Justeru, mereka dinasihatkan supaya menjauhi kawasan-kawasan berisiko tinggi dan sebaiknya kekal berada di kediaman masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Khairi turut meminta rakyat Malaysia supaya mendapatkan berita daripada sumber yang sahih sebelum menyebarkan sebarang maklumat mengenai keadaan terkini situasi di Iran.

Katanya, terdapat banyak laporan yang tidak benar disebarkan di media sosial hingga menimbulkan keresahan rakyat.

“Kita harapkan konflik ini tidak berpanjangan dan usaha diplomatik yang sedang berjalan dapat memberi hasil positif,” katanya.

Sementara itu, Malaysia turut mengeluarkan nasihat perjalanan ke Iran, Iraq serta Jordan susulan ketegangan yang berlaku antara Iran dan Israel.

Kementerian Luar memaklumkan bahawa Iran dan beberapa negara di rantau berkenaan iaitu Iraq dan Jordan telah menutup ruang udara mereka berikutan ketegangan yang semakin memuncak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top