am@hmetro.com.my
Seremban: Kerajaan secara dasar meluluskan pelan evakuasi untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Timur Tengah susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran dan ia boleh diaktifkan pada bila-bila masa.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini kerajaan belum bercadang mengaktifkan pelan berkenaan untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Timur Tengah dan hanya diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan.
“Kita akan laksanakan pelan itu apabila betul-betul memerlukan, namun setakat ini belum ada keperluan.
“Namun Kementerian Luar melalui Wisma Putera dan kedutaan-kedutaan kita di negara terbabit akan terus memantau setiap hari perkembangan di sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Khatam Al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Wisma Putra akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa berhubung situasi di Timur Tengah untuk kepentingan orang ramai.
Beliau turut meminta rakyat negara ini di Timur Tengah yang mendapat penerbangan pulang supaya memaklumkan pergerakan itu kepada Wisma Putera.
Katanya seramai 2,367 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di beberapa negara di Timur Tengah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




