WASHINGTON – Tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan ‘serangan bertubi-tubi’ ke atas Universiti Harvard untuk ‘membalas dendam’ kerana anaknya, Barron tidak diterima institusi pengajian tinggi terkemuka itu.
Wanita Pertama, Melania Trump bagaimanapun menepis khabar angin tersebut yang mula tersebar di media sosial sejak Selasa.
Ia selepas Presiden ke-47 AS membatalkan baki kontrak kerajaan Persekutuan yang dianggarkan berjumlah kira-kira AS$100 juta (RM422 juta) selepas geran dan kontrak bernilai berbilion dolar dibekukan serta dibatalkan sebelum ini.
Pejabat Melania menafikan Barron, 19, ada memohon kemasukan ke Harvard apatah lagi ditolak universiti tersebut.
“Ia sememangnya dakwaan palsu,” kata Pengarah Komunikasi Pejabat Wanita Pertama, Nicholas Clemens.
Difahamkan, Harvard merekodkan jumlah permohonan ditolak pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 96 peratus.
Namun, masih tidak jelas bagaimana isu tentang Barron itu boleh timbul selepas ‘perang’ antara universiti dan Trump tercetus sejak awal April.
Di bawah tindakan tegas pertama, Presiden tersebut membatalkan dana Persekutuan atas alasan Harvard enggan tunduk dengan tuntutan beliau.
Warganet juga membuat spekulasi Trump berang kerana anaknya tidak diterima di universiti berprestij itu.
“Adakah Trump sasarkan Harvard kerana Barron?” menurut salah satu catatan di media sosial.
Seorang Senator Demokrat turut menghangatkan lagi isu tersebut menerusi ciapan di platform X.
“Saya asyik terfikir, agaknya berapa orang lagi daripada keluarga Trump yang pernah ditolak Harvard,” sindir Senator Sheldon Whitehouse yang turut menyiarkan semula artikel tentang ‘serangan Trump’ ke atas universiti tertua di AS berkenaan.

Barron (tengah) bersama ibunya, Melania dan bapanya, Trump.
Tuntutan tak masuk akal
Anak bongsu Trump itu dikatakan memecahkan tradisi keluarganya apabila dia memasuki Stern Business School di New York University, sedangkan bapa dan adik-beradiknya yang lain menyambung pengajian di University of Pennsylvania serta Georgetown University.
Menerusi wawancara bersama DailyMail pada musim gugur lalu, Trump dengan bangga menguar-uarkan Barron diterima banyak kolej.
“Dia seorang anak yang sangat pintar dan akan memasuki NYU Stern School of Business. Pusat pengajian itu amat berkualiti dan dia sukakan pusat pengajian tersebut,” jelasnya lagi.
Barron tamat belajar di Oxbridge Academy di Palm Beach, Florida pada Mei tahun lalu.
Ketika penggal pertama pentadbiran Trump di Rumah Putih, Melania banyak menghabiskan masa bersama anaknya di New York demi memastikan sesi pembelajarannya tidak terganggu.
Beliau pernah memberitahu Barron lebih suka menyambung pengajian di New York memandangkan Harvard terletak di Cambridge, Massachusetts.
Sebelum ini, Trump berulang kali menuduh universiti elit tersebut kononnya mengamalkan anti-Semitisme dan mengkritik ideologi progresif Harvard.
Beliau juga mendakwa institusi tersebut dikawal pentaasub Marxis (sistem pemikiran politik, ekonomi dan sosial yang menekankan kepentingan status sosial serta perjuangan hierarki dalam sejarah manusia).
Trump menyenaraikan tuntutan tidak masuk akal seperti menghapuskan program kepelbagaian kesaksamaan dan kebolehcapaian (DEI), menyekat kuasa tenaga pengajar (profesor) serta menghalang kemasukan penuntut asing di bawah program pertukaran pelajar.
Harvard bagaimanapun enggan menjadi ‘pak turut’ dan melancarkan serangan balas dengan menyaman Trump atas keputusan membatalkan dana penting untuk penyelidikan mereka. – Agensi