am@hmetro.com.my
Gua Musang: Perjalanan pulang ke Kelantan yang memakan masa lebih 12 jam adalah perkara biasa bagi perantau untuk meraikan 1 Syawal bersama keluarga tersayang.
Pengguna jalan raya, Nurliayana Zainal Abidin, 36, berkata, pengalaman menempuh perjalanan untuk pulang ke Kelantan hampir 20 jam dua tahun lalu membuat dia sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan untuk pulang beraya.
Katanya, untuk perjalanan pulang pada kali ini ia memakan masa hampir 11 jam untuk sampai ke Gua Musang.
“Saya bertolak dari rumah di Kajang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi dan tiba kira-kira jam 11.30 pagi ini. Dalam perjalanan juga kami beberapa kali berhenti kerana membawa anak kecil bersama.
“Dari Kajang ke Gombak aliran trafik sudah mula bergerak perlahan dan sesak. Kesesakan juga berlaku di Raub, Pahang dan sempadan Gua Musang yang mengalami kesesakan lebih teruk.
“Kalau musim perayaan ini jalan sesak sudah menjadi perkara biasa bagi kami perantau yang ingin pulang beraya di kampung halaman, sebelum ini saya pernah menempuh perjalanan hampir 20 jam untuk pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di Hentian Gua Musang, di sini, hari ini.
Manakala bagi Mohd Yusoff Mohamad, 42, dari Lukut, Negeri Sembilan pula berkata, dia menjangkakan perjalanan ke Kubang Kerian akan mengambil masa lebih 12 jam.
Katanya, dia memulakan perjalanan kira-kira jam 9.30 malam tadi untuk pulang ke kampung halaman.
“Kesesakan teruk berlaku di sempadan antara Merapoh, Pahang dan Kampung Mentara apabila jalan empat lorong menjadi dua lorong.
“Seawal jam 6 pagi saya pun sudah tersangkut lama di situ dan mungkin kesesakan menjadi lebih teruk menjelang petang ini.
“Saya harap pemandu kenderaan untuk sentiasa berhati-hati dan banyakkan bersabar ketika berada di atas jalan raya. Semoga tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




