saufi@mediaprima.com.my
Jika menyentuh tentang peranti kelas pertengahan, wujud tanggapan segelintir pengguna bahawa peranti pintar berkenaan tidak dilengkapi spesifikasi yang baik dan terkini.
Bagaimanapun, persepsi itu perlu diubah bagi peranti baharu REDMI Note 15 Pro+ 5G yang bukan saja menawarkan padanan spesifikasi termaju, malah ia peranti tahan lasak sekali gus sesuai untuk semua peringkat pengguna.
Bingkai bertetulang (REDMI Titan Structure), kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 serta panel belakang gentian kaca menjadikannya peranti ini jauh lebih tahan dengan elemen hentakan berbanding generasi terdahulu.
Ujian pensijilan menunjukkan ia mampu menahan jatuhan sehingga 2.5 meter dan menerima penarafan SGS Premium untuk ketahanan jatuh, remuk dan lentur.
Di samping itu, ia dilengkapi perlindungan air dan habuk daripada penarafan IP66, IP68, IP69, IP69K yang membawa maksud peranti ini tahan dalam keadaan hujan lebat, percikan kuat, malah rendaman sementara bukan masalah.
Untuk pengguna aktif, peranti REDMI Note 15 Pro+ 5G ini terasa seperti ‘armor’ kerana memiliki daya tahan yang luar biasa.
Kebanyakan peranti pintar pada masa ini umpama ‘kaca’ iaitu mudah retak, mudah pecah dan mudah lentur.
REDMI membuktikan bahawa peranti kelas pertengahan baharu ini memiliki semua daya tahan berkenaan sekali gus pengguna tidak perlu bimbang dengan penggunaan tahan lasak.
Bahagian bateri pula dilengkapi dengan kapasiti 6,500mAh dengan teknologi silikon-karbon membolehkan penggunaan sehingga dua hari dalam senario biasa.
Pengecasan 100W HyperCharge memenuhkan bateri dalam sekitar 40 minit, manakala fungsi pengecas berbalik berwayar 22.5W menjadikan telefon ini seolah-olah ‘powerbank’ kecemasan berguna bila perlu bantu cas peranti lain.
Sistem ‘satu lensa, lima jarak fokus’ memudahkan pengguna 1x untuk tangkapan umum, 1.2x / 1.5x untuk potret kasual, 2x bagi perspektif hampir seperti telefoto sebenar dan 4x untuk subjek jauh dengan bantuan AI rekonstruksi.
Video pula menyokong sehingga 4K 30fps, menjadikan telefon ini cukup mampu untuk kegunaan harian, media sosial dan rakaman perjalanan.
Paparan 6.83 inci 1.5K dengan kecerahan puncak sehingga 3,200 nits dan kadar segar semula 120Hz memberi pengalaman tontonan yang terang dan lancar.
Cip Snapdragon 7s Gen 4 dipadankan dengan sistem penyejukan Xiaomi ‘IceLoop’, memastikan prestasi stabil untuk permainan dan pelbagai tugas.
Turut disertakan ialah jaminan kemalangan dua tahun untuk pembaikan skrin/cecair/back cover, namun terhad kepada satu kali tuntutan sahaja, menjadikannya lebih meyakinkan bagi pengguna yang mahukan perlindungan tambahan.
Ketahanan peranti ini tidak hanya bergantung kepada keupayaan kerangka fizikal peranti tetapi turut membabitkan ketahanan perkakas dalaman serta perisian yang dijamin untuk kelancaran pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd




