Peraturan kerja lebih anjal sedang dipertimbangkan – PM

Peraturan kerja lebih anjal sedang dipertimbangkan – PM

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Selain sektor awam, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.

“Penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah.

“Saya percaya Insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan seperti mana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.

Bagi pihak kerajaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan usaha mengekalkan disiplin serta mengelakkan pembaziran dan ketirisan akan terus diperkukuh.

Beliau berkata, langkah diambil itu adalah mustahak bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal stabil walaupun berdepan cabaran global.

“Bagi pihak kerajaan, Insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, serta terkecuali kerana setelah melihat kemerosotan yang berlaku di dunia.

“Kita lihat Malaysia masih mendapat tarikan, menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif seperti mana yang kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan peperangan ini, masih ramai yang datang.

“Jadi kita doakan, biar kekal negara ini aman biar rakyat sama ada sektor awam dan swasta bekerja secara gigih dan bersungguh-sungguh dan biar kita tingkatkan keupayaan ekonomi kita dalam tiap ujian, cabaran dari Allah SWT dan keadaan yang berlaku di dunia masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita,” katanya.

Harga petrol BUDI95 kekal, kuota bulanan jadi 200 liter

LMM tamat lebih 36 bulan tidak layak dapat subsidi BUDI95

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top