Perbahasan tangguh, tidak cukup korum untuk bersidang

Perbahasan tangguh, tidak cukup korum untuk bersidang

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sesi Perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini ditangguhkan esok selepas tidak cukup korum untuk bersidang.

Ketidakcukupan Ahli Parlimen untuk bersidang disedari Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary selepas Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) selesai berbahas.

“Di saat perbahasan sebegini penting, tidak dihadiri korum yang mencukupi,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bangkit memaklumkan ramai Ahli Parlimen sedang solat Maghrib di surau.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, beliau sudah memeriksa dan mendapati tiada Ahli Parlimen berada di surau ketika itu.

Maklum akan perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Shahar Abdullah membuat kiraan Ahli Parlimen yang berada di dalam dewan sebelum mengarahkan loceng dibunyikan.

Loceng dibunyikan kira-kira dua minit, namun hanya ada 17 Ahli Parlimen berbanding sepatutnya 26 orang bagi melengkapkan korum persidangan.

Mohd Shahar kemudian memutuskan untuk menangguhkan sesi terbabit selepas kiraan kehadiran terakhir hanyalah 19 Ahli Parlimen.

Mengikut aturan mesyuarat asal, 12 Ahli Parlimen dijadual membahaskan RUU Perbekalan 2025 hari ini, yang dimulai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin selama 90 minit selepas sesi pertanyaan menteri pada sebelah pagi.

Ia sepatutnya diakhiri Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How, malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top