PUTRAJAYA: Agensi penguatkuasaan penting seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) wajar diterajui oleh pegawai berpengalaman dalam kalangan warga jabatan itu sendiri dalam usaha menggalas cabaran kutipan hasil negara dan mengelak ketirisan.
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, dalam mencapai hasrat itu, jawatan Ketua Pengarah sewajarnya dilantik dalam kalangan warga JKDM sendiri yang sudah tentu berpengalaman dalam urusannya berbanding memilih ‘orang luar’ iaitu mereka yang berjawatan Pegawai Tinggi Diplomatik (PTD) Lantikan.
Beliau berkata, ‘pertembungan’ antara pegawai-pegawai Kastam dengan PTD yang dilantik boleh merencatkan hasil negara sebagaimana pernah berlaku dalam agensi Lembaga Hasil Dalam NEgeri (LHDN).
“JKDM merupakan agensi pengutip hasil penting negara. Malang jika berlaku pertembungan antara pegawai-pegawai kastam dengan PTD kerana ia boleh merencatkan hasil negara.
“LHDN kini mampu memacu hasil yang berlipat ganda bila diterajui oleh orang yang berpengalaman dan benar-benar faham selok-belok jabatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Kewangan menetapkan sasaran kutipan JKDM pada tahun ini sebanyak RM56 bilion dan ia tentunya mampu dicapai jika pegawai JKDM menjalankan tugas mereka seperti sediakala dan bebas dari ketirisan.
Beliau mendakwa, pelbagai masalah akan timbul jika orang luar seperti pegawai PTD dilantik mengetuai jabatan ini boleh menjejaskan prestasi organisasi.
“Bila ketua sesebuah agensi bukan datang dari orang dalam, sebaliknya datang dari orang luar, ‘personal touch’ atau sentuhan peribadi serta pemahaman ke atas budaya kerja agensi tersebut tidak ada.
“Ini boleh membawa kepada beberapa impak negatif ke atas agensi tersebut antaranya keputusan yang dibuat tanpa memahami sepenuhnya nuansa dan dinamika agensi tersebut.
“Apatah lagi jika tidak disertakan libat urus dengan mereka terlibat, yang boleh menyebabkan kekurangan kepercayaan dan kerjasama daripada kakitangan sedia ada,” katanya.
Selain itu, kata beliau, ketidakserasian dalam pendekatan kerja seperti cubaan memperkenalkan pendekatan baharu yang tidak dirundingi juga boleh mengurangkan kecekapan operasi dan menimbulkan ketegangan.
Ia seterusnya menjejaskan produktiviti dan moral keseluruhan agensi tersebut.
“Pemerkasaan organisasi seperti JKDM memerlukan satu elemen penting diperbetulkan, iaitu dengan menyerahkan jawatan Ketua Pengarah Kastam kepada warga kastam.
“Jika ini tidak berlaku, maka apa-apa usaha pemerkasaan organisasi akan sukar mencapai matlamatnya,” katanya. – UTUSAN




