Perbicaraan perebutan harta pusaka keluarga taikun Genting berlangsung tegang

Perbicaraan perebutan harta pusaka keluarga taikun Genting berlangsung tegang

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes perebutan harta pusaka bernilai lebih RM1.6 bilion membabitkan cucu mendiang taikun Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong, berlangsung dalam suasana tegang semalam.

Ketegangan tercetus sebaik sahaja peguam yang menyediakan wasiat terakhir yang dipertikaikan milik Lim Siew Kim, tampil memberi keterangan.

Peguam Datuk Low Beng Choo, yang dinamakan sebagai salah seorang defendan dalam salam sivil itu, memulakan keterangan dengan mengesahkan Siew Kim menandatangani wasiat terakhirnya pada 28 April 2022.

Siew Kim, 73, anak ketiga pengasas Kumpulan Genting itu meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Beng Choo, 57, memberi keterangan Siew Kim berada dalam keadaan sedar dan mengetahui apa dilakukannya ketika menandatangani wasiat itu sewaktu duduk atas katil di sebuah hospital swasta.

“Beliau tidak mempunyai sebarang tiub dipasang pada tubuhnya ketika duduk atas katil dan menandatangani setiap halaman wasiat itu,” katanya.

Sebelum meneruskan keterangan, Peguam Kanan Datuk V Sithambaram, bangun memaklumkan mahkamah beliau ingin membantah sebelum kenyataan bertulis Beng Choo ditandakan sebagai bahan bukti.

Beliau berkata, pihak plaintif mahu menyingkirkan beberapa bahagian keterangan lisan dan dokumen yang dianggap sebagai keterangan lisan kerana ia membabitkan kata-kata yang didakwa diucapkan oleh si mati, seperti dinyatakan peguam berkenaan.

Katanya, keterangan sedemikian perlu diketepikan kerana tiada cara untuk menentukan kesahihan dakwaan Beng Choo dalam penyediaan wasiat terbabit.

Dalam dokumen tuntutan itu, plaintif mendakwa keseluruhan kes berkenaan tertumpu kepada kesahihan wasiat ibu mereka kerana beliau tidak mempunyai keupayaan testamentari wasiat akibat keadaan kesihatannya sebelum meninggal dunia.

Mereka mendakwa Siew Kim tidak mempunyai keupayaan undang-undang dan mental yang diperlukan untuk membuat wasiat yang sah, sebelum kematiannya akibat kanser ovari tahap empat.

Selain itu, mereka juga mendakwa menemui kewujudan dua lagi wasiat ditinggalkan ibu mereka pada 2023 sebelum kewujudan wasiat yang disediakan Beng Choo pada April 2022.

Dua wasiat lain itu bertarikh 2 November 2021 dan 11 April 2022, manakala wasiat ketiga ditandatangani pada 28 April 2022.

Mereka turut mendakwa pelaksanaan wasiat ketiga berlangsung dalam tempoh masa singkat sehingga menimbulkan keadaan mencurigakan berkaitan penyediaan dan pembuatan wasiat terakhir itu.

Dalam dokumen tuntutan, anak-anak perempuan Siew Kim iaitu Chan T’shiao Li, 48, dan Kimberley Chan T’shiao Min, 45, memaklumkan tidak tahu mengapa ibu mereka didakwa dipaksa menandatangani wasiat terakhir secara tergesa-gesa,

Mereka mendakwa mendiang pada waktu itu dikatakan tidak berada dalam keadaan sesuai berikutan kemerosotan tahap keupayaan fizikal serta mentalnya.

Mereka mendakwa hanya mengetahui kemudian mengenai Beng Choo mempunyai kepentingan dalam harta pusaka si mati melalui Dikim Foundation (Yayasan Dikim) yang ditubuhkan oleh Siew Kim dan mendiang suaminya, Dick Chan Teik Huat.

Yayasan Dikim adalah benefisiari utama wasiat berkenaan dengan menerima lebih 70 peratus baki harta pusaka.

Anak-anak perempuan mendiang yang terbabit dalam saman itu mendakwa tujuan sebenar yayasan itu masih tidak jelas dan samar.

T’shiao Li dan T’shiao Min mendakwa berlaku penipuan dalam pelaksanaan wasiat ibu mereka dan memohon agar ia diisytiharkan tidak sah, selain menuntut mereka bersama dua lagi adik-beradik diisytiharkan sebagai benefisiari yang sah.

Yayasan Dikim turut menerima hartanah di Pearl Hill, Tanjung Bungah, Pulau Pinang serta pegangan saham dan hartanah dalam Suria Waras Development Sdn Bhd.

Anak lelaki Siew Kim, Marcus Chan, yang turut dinamakan sebagai defendan, menerima hartanah di Jalan Ampang, pegangan saham dalam Mantap Awana Sdn Bhd, kandungan semua peti simpanan keselamatan serta 30 peratus baki harta pusaka.

Sebaliknya, T’shiao Li hanya menerima RM900,000 manakala Kimberley menerima RM100,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top