am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Perbincangan Barisan Nasional (BN) Melaka dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong semalam dianggap positif, kata Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pengerusi BN negeri itu berkata, pertemuan terbabit hampir menemui jalan penyelesaian, namun keputusan mengenainya masih belum boleh diumumkan.
“Perbincangan baik, bagus, dapat meleraikan beberapa kebuntuan yang selama ini menimbulkan tanda tanya.
“Kita tunggu mungkin MCA akan memberikan hasil (keputusan) daripada rundingan yang dibincangkan malam tadi (semalam),” katanya selepas menghadiri pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah di Villa d’ Acqua Kampung Pulau, di sini, malam ini.
Pelancaran disempurnakan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN negeri menganggap rundingan berkenaan tetap positif meskipun Wee menyatakan sebaliknya.
“Bagi saya perbincangan itu positif. Kita tunggu keputusan, tak boleh beritahu dulu, nanti tak mencabarlah. Tiada lagi perbincangan (selepas ini), tetapi pihak tertinggi parti akan buat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Wee dilaporkan berkata, MCA belum menganggap rundingan dengan pucuk kepemimpinan BN berhubung pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai perkembangan positif, meskipun pertemuan antara pemimpin kedua-dua parti berlangsung dalam suasana tenang dan mesra.
Beliau dilaporkan berkata, parti berkenaan masih belum mencapai matlamat yang diharapkan dan perbincangan lanjut perlu diadakan bagi mencari penyelesaian terhadap isu pengagihan kerusi berkenaan.
Kenyataan itu menyusul selepas Ahmad Zahid mengesahkan perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA berhubung isu pembahagian kerusi pada PRN Melaka sudah selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




