'Perbuatan terhadap mangsa dah jadi jenayah berat'

'Perbuatan terhadap mangsa dah jadi jenayah berat'

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: “Perbuatan ini bukan pergaduhan biasa suami isteri tetapi dah jadi kes jenayah yang agak berat.

“Saya harap si pelaku dapat ditangkap segera kerana kejadian isteri dipukul, ditumbuk, ditendang, dipijak dan dilibas menggunakan paip getah sama sekali tidak boleh diterima akal manusia,” kata Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Jati Waja Sungai Petani itu menyifatkan tindakan terhadap wanita yang dipukul suami sehingga keguguran kandungan 12 minggu, di daerah ini Khamis lalu agak melampau.

Beliau berharap pelaku segera ditangkap dan dikenakan hukuman tegas setimpal yang dilakukan terhadap isterinya.

“Dia pukul bini (isteri) dia sekali lagi dan hari ini isteri dia itu ada dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan mengalami trauma yang sangat teruk.

“Kerana apa? Sebab dipukul dengan paip getah, batang besi, batang kayu, ditendang, bayi yang dalam perut kandungan 12 minggu keguguran.

“Saya dapat tahu trauma mangsa yang sangat teruk dan dia ditempatkan berasinganlah di wad dan hari ini kejadian yang sama berulang, orang yang sama, mangsa berbeza, ” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Shahanim berkata, mangsa dipukul ditendang, dipijak dan mengalami kecederaan serius hingga patah tujuh tulang rusuk kanan, patah enam tulang rusuk kiri, patah tulang belakang dan punggung, keguguran kandungan.

Selain itu katanya, suspek juga turut mengugut mengancam nyawa mangsa dan menyifatkan keganasan ini adalah tahap yang sangat serius.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Petani turut menawarkan khidmat guaman percuma untuk membela mangsa.

“Kejadian ini tahap keganasan yang serius, saya mewakili wanita seluruh Malaysia berharap supaya pelaku dikenakan hukuman setimpal memandangkan pernah terbabit dalam kes lebih teruk sebelum ini di Johor Bahru,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top