Percepat laksana tanam padi 5 musim di kawasan Muda – PM

Percepat laksana tanam padi 5 musim di kawasan Muda – PM

am@hmetro.com.my

Jerlun: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertindak secara bersepadu bagi melaksana program tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Muda.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan pantas dan penyelarasan berkesan penting untuk meningkatkan keupayaan pesawah tempatan selain memastikan hasil tuaian lebih mampan.

“Saya berkesempatan meninjau kemajuan projek pembangunan infrastruktur yang menyokong program ini khususnya di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam hari ini.

“Inisiatif ini amat dekat di hati saya dan yakin ikhtiar berani Kerajaan MADANI akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara,” katanya selepas meninjau kawasan sawah berkenaan di sini, hari ini.

Turut mengiringi lawatan kerja Perdana Menteri itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh.

Mengulas lanjut, Anwar berkata langkah itu juga diyakini mampu mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh kadar sara diri beras negara.

Katanya, Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara pesawah serta memahami keperluan mereka dan terus komited memperkasa sektor berkenaan melalui pelbagai bentuk sokongan serta inisiatif berterusan.

“Inilah bukti keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam membela nasib petani yang juga tulang belakang sektor agromakanan negara,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan berkata, projek yang dilaksanakan ini memberi tumpuan kepada penaiktarafan sistem pengairan dan saliran serta pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi.

“la dilaksanakan melalui pendekatan Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership), yang bukan sahaja menyokong intensifikasi aktiviti penanaman, malah mampu meningkatkan hasil produktiviti pesawah dan menambah pendapatan mereka,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top