norhayati@hmetro.com.my
Shah Alam: “Buat masa sekarang, kami cuba yang terbaik. Itu saja saya boleh cakap. Kalau saya hendak ulas lebih mengenai bekas suami, takut boleh jadi punca atau permasalahan lain pula,” kata pelakon, Mawar Rashid yang ditanya mengenai sokongan diterimanya daripada bekas suami, Raf Yaakob, 39, terhadap masalah ‘anxiety’ yang dihidapi.
Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, berkata, dia dan Raf ketika ini lebih selesa fokus untuk membesarkan anak-anak demi masa depan yang lebih baik.
“Apa yang berlaku antara saya dan bekas suami, saya lebih selesa untuk cuba elakkan memberi komen sebab kami ada anak-anak yang masih kecil dan bekas suami juga adalah bapa mereka.
“Jadi, saya pilih untuk elakkan apa-apa (komen) yang tidak baik atau mengulas lanjut mengenai dia dalam segala hal pun,” katanya ditemui pada tayangan perdana drama BaraJiwa arahan Osman Ali di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam di sini, hari ini.
Mawar pernah mendirikan rumah tangga bersama pempengaruh yang juga usahawan, Raf atau atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 November 2017. Namun, mereka bercerai pada November tahun lalu selepas enam tahun hidup bersama.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 5; Raden Seri Rosabella Cinta, 3; dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1; yang dijaga bersama-sama.
Ditanya mengenai kehidupannya sebagai ibu tunggal, Mawar berkata, dia masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab besar perlu digalas dalam menjalani kehidupan itu.
“Setakat ini segala urusan lancar dan masih baik. Tetapi, saya tetap mencuba lagi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan. Saya tetap perlu mencubanya untuk jadi yang terbaik demi anak-anak.
“Saya juga sebenarnya percaya dengan adanya fasa dan ujian seperti ini (dalam hidup) beri peluang saya belajar. Kalau saya tak lalui semua ini, pasti tidak akan kuat seperti sekarang. Alhamdulillah, Allah sudah susun cantik semuanya” katannya.
Mawar berkata, dia sememangnya sangat percaya setiap yang berlaku dan dihadapi itu memberi peluang kepada dirinya untuk belajar mengenai erti kehidupan selain lebih tabah berdepan dengan dugaan hidup.
© New Straits Times Press (M) Bhd




