SUASANANYA seakan-akan berada di sebuah resort keluarga dengan tarikan kolam renang mesra kanak-kanak dan parkir betul-betul di hadapan bilik sambil menikmati taman menghijau di depan mata.
Tidak cukup dengan itu, hidangan ditawarkan chef restorannya cukup sempurna baik bagi menu ala carte, bufet, steambot, panggang dan pastri yang pastinya sukar untuk dilupakan.
Setiap lima minit pula, penginap berpeluang melihat ‘burung besi’ melintasi ruang biru angkasa kerana kedudukannya yang terletak hanya 25 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah tidak keterlaluan dikatakan walaupun perjalanannya sekitar kurang satu jam atau lebih dari Lembah Klang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan atau Melaka, ia seperti berada di dunianya yang tersendiri melupakan sejenak kesibukan kerja.
Siapa sangka hotel milik bumiputera bertaraf empat bintang itu mampu menawarkan semua itu pada kadar mampu dinikmati khususnya golongan B40 meluangkan masa bersama keluarga tercinta.


Itulah yang dapat dirasai sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan Dash Box Hotel Cyberjaya.
Mata pastinya akan tertumpu pada kecantikan 15 buah kubah putih yang menempatkan tiga buah bilik setiap satu dengan ruang parkir betul-betul di depan kesemua 45 pintu bilik.
Setiap unit direka mengadap taman dan kolam renang mewujudkan suasana tenang menghirup udara segar sambil mata mengawasi anak-anak mandi di kolam renang yang terbahagi kepada tiga bahagian bermula dengan kedalaman 0.2 meter hingga 1.2 meter.

Bagi menjamin keselamatan kanak-kanak, sebuah kolam kanak-kanak yang diasingkan dengan tembok yang dilengkapi gelungsur dan kerusi rehat untuk memudahkan ibu bapa memantau kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun bermandi manda.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh memilih untuk memesan makanan di ruang kafe dalam suasana santai bersebelahan kolam dewasa yang turut dilengkapi gelungsur sesuai untuk kanak-kanak berusia 11 tahun ke atas.
Pengurus operasinya, Maniraja Marimuthu yang berpengalaman selama 35 tahun dalam pengurusan hotel dan resort di lebih 14 buah negara berkata, hampir 95 peratus pelanggan hotel terdiri daripada warganegara tempatan.

“Perniagaan kami berbeza dengan hotel-hotel di bandar kerana di sini konsepnya kita mahu mengeratkan hubungan kekeluargaan meluangkan masa mandi di kolam dan bersantai di taman depan bilik.
“Hampir kesemua kakitangan di sini juga beragama Islam termasuk chef yang menyediakan hidangan bermula pada waktu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam,” katanya.
Menurutnya, ketika ini lokasi percutian itu menawarkan 15 buah kubah yang mempunyai 45 buah bilik selain 40 buah kontena pada harga bermula RM180 hingga RM290 termasuk sarapan.

Namun atas permintaan ramai, dua buah kubah akan dijadikan sebagai satu villa untuk penginapan tiga keluarga besar berserta sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam pada harga pakej RM1,500 semalam atau memilih untuk tempahan makanan dihantar terus ke bilik.
“Ini kerana ramai keluarga yang menginap di sini tidak mahu keluar kerana mahu meluangkan masa berkualiti sepenuhnya bersama keluarga terutamanya suasana malam yang amat mendamaikan.
“Selain konsep santai bersama keluarga, kami juga sedia menerima tempahan daripada syarikat korporat untuk seminar dan sebagainya kerana Dash Box turut dilengkapi sebuah dewan besar,” tambahnya.
Sebarang tempahan boleh dibuat secara terus melalui website https://www.dashbox-cyberjaya.com/ untuk harga yang lebih murah, pilihan bilik yang pelbagai beserta pakej makanan berbanding tempahan melalui Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA). – MalaysiaGazette




