Perdana menteri Britain terima dos pertama vaksin AstraZeneca

Perdana menteri Britain terima dos pertama vaksin AstraZeneca
Johnson selepas menerima dos pertama vaksin AstraZeneca di London hari ini. (Gambar AP)

LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson hari ini menerima dos pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca di sebuah hospital di London.

Hospital itu adalah tempat yang sama di mana beliau berjuang melawan Covid-19 hampir setahun yang lalu.

“Saya tidak rasa apa-apa. Ia sangat bagus, (prosesnya) sangat cepat,” kata pemimpin berusia 56 tahun itu kepada wartawan di Hospital St Thomas, yang terletak berhampiran kediamannya di Downing Street.

Beliau menyeru agar orang ramai mendapatkan vaksin Covid-19 apabila dipanggil.

“Ini adalah perkara terbaik untuk anda, perkara terbaik untuk keluarga anda dan orang lain,” tambah beliau, sambil menekankan “lampu hijau” baharu bagi vaksin AstraZeneca oleh para saintis di Eropah.

Pada penghujung Mac tahun lalu, Johnson menerima rawatan selama seminggu di Hospital St Thomas, termasuk tiga hari rawatan intensif, setelah dia dijangkiti virus Covid-19.

Vaksin AstraZeneca, yang dimajukan bersama Universiti Oxford, adalah antara vaksin utama yang digunakan dalam kempen inokulasi di Britain, dan sebahagian besar daripada bekalannya dihasilkan oleh Institut Serum India, pembuat vaksin terbesar di dunia.

Institut itu berkata minggu ini, ia tidak dapat melengkapkan penghantaran vaksin bulan depan seperti yang dirancang, menjejaskan kempen besar-besaran di Britain, yang telah mengagihkan 26 juta dos pertama vaksin.

Isu bekalan ini adalah antara halangan bagi vaksin AstraZeneca selepas beberapa negara Kesatuan Eropah menyekat suntikannya, sambil menunggu semakan semula oleh Agensi Perubatan Eropah susulan kes-kes terpencil darah beku dan pendarahan dalam otak.

Agensi tersebut sekali lagi memberi kelulusan bagi vaksin tersebut pada Khamis, bersama badan kawal selia ubat-ubatan Britain.

Scroll to Top