Perdana Menteri disingkir selepas tiga bulan dilantik

Perdana Menteri disingkir selepas tiga bulan dilantik

Michel Barnier (FOTO: The US Sun)

– Advertisement –

PARIS: Perdana Menteri Perancis, Michael Barnier terpaksa meletak jawatan selepas hanya tiga bulan dilantik susulan undi tidak percaya yang dilaksanakan terhadap beliau.

– Advertisement –

Ahli parlimen berhaluan kanan dan kiri bergabung untuk menyokong usul berkenaan terhadap Barnier dan kerajaannya, dengan majoriti sebanyak 331 undi menyokong.

Beliau dijangka akan menyerahkan surat peletakan jawatan dan kerajaannya kepada Presiden, Emmanuel Macron dalam masa terdekat.

Tiada Kerajaan Perancis tewas dalam undi tidak percaya sejak Georges Pompidou pada 1962.

Namun, Macron telah memulakan krisis dengan mengadakan pilihan raya mengejut pada Jun lalu yang menyebabkan parlimen berpecah kepada banyak pihak.

Ketua pemimpin sayap kanan, Marine Le Pen berkata, keruntuhan kerajaan itu adalah satu-satunya cara yang diberikan oleh perlembagaan untuk melindungi Perancis daripada bajet yang berbahaya, tidak adil dan menghukum.

Dengan berlakunya insiden itu, Perancis kini berisiko untuk menamatkan tahun tanpa kerajaan yang stabil dan kelulusan bajet 2025, walaupun perlembagaan membenarkan langkah khas yang akan mengelakkan penutupan kerajaan daripada berlaku.

Penyingkiran Barnier itu dilihat sebagai hukuman terhadapnya selepas beliau memilih untuk menggunakan kuasa perlembagaan khas bagi melaksanakan sebahagian daripada bajet yang tidak popular.

Bajet yang ingin dilaksanakan itu dikatakan akan memberi penjimatan sebanyak 60 bilion euro (RM279 bilion) dalam usaha untuk mengecilkan defisit melalui parlimen tanpa sebarang kelulusan undi.

Macron dijangka akan melantik perdana menteri baharu sebelum upacara pembukaan semula Katedral Notre-Dame pada Sabtu, di mana presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka akan hadir. – Agensi / HARAKAHDAILY 5/12/2024

Scroll to Top