mohd_iskandar@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Ucapan sulung Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggunakan frasa Keluarga Malaysia jelas menunjukkan keikhlasan Perdana Menteri mengajak semua rakyat bersatu mengemudi negara keluar dari kemelut politik dan krisis kesihatan.
Presiden Majlis Kelab BELL Belia Tamil Malaysia (MKKBT), Gobi Kumaran, berkata ungkapan itu secara tidak langsung menjadi aspirasi untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya bersaudara berbanding memusuhi antara satu sama lain.
“Frasa yang digunakan Perdana Menteri amat tepat dan penting ketika ini kerana kebersamaan dalam keluarga besar amat diperlukan bagi menangani dan menyelesaikan semua permasalahan yang dihadapi negara.
“Negara berdepan krisis kesihatan yang amat meruncing, ditambah dengan kemelut politik dan ia mampu ditangani dengan baik jika semua mempraktikkan semangat kebersamaan itu,” katanya kepada BH hari ini.
Mengulas lanjut, Gobi berkata, ucapan Perdana Menteri yang memberi jaminan akan mendengar suara anak muda paling dinantikan, sekali gus menunjukkan keterbukaan Ismail Sabri dalam memartabatkan golongan terbabit.
Beliau berharap, Perdana Menteri dapat merealisasikan jaminan itu dengan membabitkan lebih ramai anak muda dalam kerajaan, terutama berkaitan usaha memerangi pandemik dan memulihkan ekonomi negara.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Low Kian Chuan, menyambut baik inisiatif Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri untuk menyatu padukan rakyat melawan COVID-19.
Beliau yang juga Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) berkata, kesan pandemik terhadap ekonomi dan rakyat menjadi masalah utama yang perlu ditangani dan permintaan Perdana Menteri supaya semua pihak tanpa mengira latar belakang untuk bekerjasama adalah sesuatu yang amat diperlukan ketika ini.
“Dalam ucapannya, jelas bahawa keutamaan kerajaan adalah menyelesaikan masalah pandemik dan memulihkan ekonomi dan beliau mengajak semua pihak termasuk pembangkang mengetepikan perbezaan politik untuk bekerjasama membawa Malaysia keluar daripada krisis yang dihadapi.
“NCCIM menyokong sepenuhnya usaha menjaga perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum untuk memastikan pembangunan ekonomi negara yang lestari dan adil,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua pihak termasuk pemimpin politik, industri, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik berganding bahu memulihkan dan mengembalikan kegemilangan negara yang terkesan akibat COVID-19.
Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, memperkenalkan penggunaan frasa Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19.
Perdana Menteri berkata, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd



