Perez, Bottas sah sertai Cadillac Musim 2026

Perez, Bottas sah sertai Cadillac Musim 2026

Paris: Bekas pemandu Red Bull, Sergio Perez dan Valtteri Bottas diumumkan akan memandu untuk pasukan baharu Formula Satu (F1), Cadillac, musim depan.

Kedua-dua pemandu berpengalaman itu bakal kembali mewarnai saingan musim 2026 selepas diketepikan tahun ini, sekali gus memperkuatkan barisan pasukan Amerika yang akan menjadi pasukan ke-11 di grid F1.

Perez, pemenang enam perlumbaan Grand Prix, digugurkan oleh Red Bull sebagai rakan sepasukan Max Verstappen pada penghujung musim lalu meskipun kontrak dua tahunnya bersama pasukan itu masih berbaki.

Sementara itu, Bottas yang pernah meraih 10 kemenangan ketika bersama Mercedes bergandingan dengan Lewis Hamilton, menyertai Sauber pada 2024 dan musim ini berperanan sebagai pemandu simpanan Mercedes.

Cadillac meletakkan harapan kepada kedua-dua pemandu berusia 35 tahun itu untuk membantu mereka membuat permulaan cemerlang dalam arena sukan permotoran paling berprestij tersebut.

Presiden syarikat induk Cadillac, GM, Mark Reuss berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman kedua-duanya meraih kemenangan dan podium dalam F1.

Beliau menyifatkan gandingan Perez-Bottas sebagai “kombinasi kemenangan yang sangat baik.”

Ketua Pegawai Eksekutif rakan kongsi GM, TWG Global, Dan Towriss pula berkata: “Pengalaman, kepimpinan dan kemahiran teknikal mereka adalah apa yang kami perlukan.

“Kami berbesar hati dengan keyakinan mereka terhadap kami dan projek ini.

“Terdapat kelompok pemandu muda yang menarik serta berbakat, jadi ia keputusan yang sukar. Tetapi faktor kepimpinan dua pemandu ini yang benar-benar menyerlah.”

Perez menganggap peluang itu sebagai suatu “penghormatan” untuk membantu Cadillac memulakan langkah pertama mereka dalam F1.

“Cadillac ialah nama legenda dalam sukan permotoran Amerika, dan untuk membantu membawa syarikat hebat ini ke Formula 1 adalah satu tanggungjawab besar yang saya yakin mampu digalas,” kata pemandu dari Mexico itu dalam kenyataan pasukan.

Bottas turut sependapat dengan rakan sepasukan baharunya itu dan meluahkan keterujaan terhadap cabaran tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top