rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua lagi lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan sekumpulan individu di Dataran Merdeka, di sini, yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam serbuan berasingan kelmarin.
“Suspek pertama ditahan pada jam 1.40 pagi di hadapan sebuah bangunan di Jalan Tun Perak.
“Manakala tangkapan kedua dilakukan pada jam 3.15 pagi di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.”
Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kedua-dua suspek berada di lokasi kejadian dan seorang daripadanya mengaku terbabit memukul mangsa.
Katanya, suspek kini dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut.
Harian Metro terdahulu melaporkan, polis mengesan sekumpulan individu yang terbabit dalam kejadian pergaduhan di Dataran Merdeka, di sini, sehingga videonya tular di laman sosial Facebook.
Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, memaparkan beberapa lelaki bergaduh dengan ada antaranya membaling topi keledar.
Kejadian turut disaksikan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal yang dilihat berkumpul di kawasan berkenaan.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, polis berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang remaja 17 tahun bagi membantu siasatan.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




