Perginya bapa psikologi Islam

KETIKA psikologi umat diasak dengan pelbagai krisis terutama yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19, bapa Psikologi Islam pergi menemui Tuhannya pada 8 Februari lalu.

Almarhum Profesor Malik Badri wajar dianggap mendahului zaman apabila merintis gagasan ‘psikologi Islam’ sekali gus berani mengkritik psikologi Barat moden.

Ini termaktub dalam karya agung The Dilemma of Muslim Psychologist, terbit di London pada 1979, dua tahun selepas beliau dilantik sebagai Felo di British Psychological Society.

Tindakan ini bagaikan juara sewaktu gagasan Islamisasi Ilmu mula digemakan. Beliau tidak hanya berbicara mengenai konsep, bahkan membumikan konsep Islamisasi Ilmu.

Beliau misalnya secara terbuka mengkritik psikologi aliran psikoanalisis dan behaviourisme, malah menyifatkan aliran Barat moden sirna jiwa.

Beliau dilahirkan pada 1932 di Rufa’a, Sudan, lokasi yang pernah berada dalam lingkungan antikolonial, lalu diabadikan dalam buku Shaykhs and followers: Political struggle in the Rufa’a al-Hoi Nazirate in the Sudan.

Malik Badri dengan teguh mempromosi dimensi roh, akal, nafsu dan kalbu sedang pada saat itu ramai ilmuwan Islam masih taasub dengan dimensiid, ego dan superego.

Beliau cuba memartabatkan maruah perspektif Ilahi sedang pada saat itu ramai ilmuwan Islam ‘masih kekok’ berhijab dan memelihara imej diri daripada perspektif Ilahi.

Beliau juga antara tokoh ilmuwan moden yang cuba mengubah paradigma bahawa teori sains sosial daripada perspektif Islam, bukanlah kolot lagi tidak empirikal.

Kemudian ketika di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau antara orang penting dalam penawaran kursus Psychology from Islamic Perspective buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, subjek psikologi seumpamanya.

Selayaknya, beliau menerima anugerah Kerusi Ibn Khaldun daripada Kulliyyah Ilmu Wahyu Islam dan Sains Kemanusiaan UIAM, di samping beberapa anugerah ulung yang lain.

Saya bukan pakar psikologi, namun sebagai Muslim, adalah penting untuk memahami psikologi daripada perspektif Ilahi seperti konsep qalb (hati) , ‘aql (akal) dan nafs (nafsu) yang mempengaruhi tindakan manusia.

Pemikiran beliau banyak menjadi rujukan tesis doktor falsafah (PhD) saya yang cuba memartabat peranan ‘motivasi Ilahi’ dalam dalam kalangan calon PhD untuk menyempurnakan pengajian masing-masing.

Motivasi Ilahi menjadi subset atau alternatif kepada elemen motivasi dalam teori Pembelajaran Arah Diri yang mendasari kajian terbabit.

Angkubah iman dalam persamaan motivasi Ilahi boleh menjadi sifar jika tiada iman, manakala motivasi boleh meningkat dan menurun merujuk naik turunnya iman – seperti disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Hal ini berinspirasi daripada persamaan tafakur yang pernah dihasilkan beliau dalam buku Contemplation: An Islamic Psychospiritual Study.

Pada 21 Julai 2010, lebih sedekad sebelum saya menamatkan pengajian, beliau datang berkunjung ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan saya tidak lepaskan peluang untuk mendengar bicara lalu bertemu dengannya.

Kala itu saya pensyarah separuh masa, antara lain mengajar subjek Islamic Psychology yang buat kali pertama mula diperkenal di UTM pada 2008.

Kunjungan singkat ‘Tuan Guru’ bagaikan menentusahkan kefahaman diri mengenai psikologi Islam berada dalam cepu skema yang tepat lagi meyakinkan.

Malik Badri bagaimanapun tidaklah begitu ‘kejam’ dalam mengkritik Barat, sedang beliau akur bahawa teori Barat, termasuk pelaziman operan ada yang boleh dimanfaatkan, selagi tidak bertentangan dengan Islam.

Video bicara beliau masih ‘hidup’ dalam Youtube seperti dalam siaran International Association of Islamic Psychology, International Open University dan IIIT Online Classes.

Karya terjemahan The Dilemma of Muslim Psychologist dalam bahasa Melayu juga sudahpun diterbitkan seawal 1980 oleh Fadlullah Wilmot.

Judul Melayunya ialah Dilema Ahli Psikologi Islam: Keadaan Serba Salah Yang Dihadapi oleh Pakar Ilmu Jiwa-Jiwa Islam wajar diulang cetak.

Malah, wajar dijadikan bahan bacaan wajib dalam kalangan mahasiswa Muslim dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, perundangan dan perniagaan.

Malik Badri menghasilkan sekurang-kurangnya 17 buku termasuk dua yang disebutkan sebelum ini.

Antara buku pentingnya yang lain ialah Abu Zayd Al-Balkhi’s Sustenance of the Soul: The Cognitive Behavior Therapy of a Ninth Century Physician.

Beliau turut meninggalkan legasi berupa pertubuhan profesional antarabangsa, International Association of Islamic Psychology yang diasaskan oleh beliau sendiri pada 2017.

Semoga video, buku dan segala takungan ilmu yang pernah beliau titiskan menjadi ilmu bermanfaat yang berterusan buat seisi dunia dan juga buat almarhum di alam barzakh.

Bumi Malaysia sepatutnya berasa bertuah apabila menjadi tempat bersemadinya tokoh ilmuwan bertaraf dunia, malah bapa Psikologi Islam pada zaman moden ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM

© New Straits Times Press (M) Bhd