Kuala Lumpur: Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia hari ini adalah figura penting yang banyak menyumbang ke arah pembangunan modal insan di negara ini, sehingga dinobat sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
Allahyarham, 85, yang mesra dipanggil ‘Pak Lah’ adalah pelopor kepada satu konsep gagasan pemikiran yang menekankan aspek modal insan sebagai landasan kecemerlangan generasi masa hadapan.
Bekas perdana menteri itu yang membawa imej pemimpin Islam sederhana itu, amat menekankan bahawasanya setiap insan perlu dilengkapi nilai-nilai positif seperti berilmu, mempunyai nilai murni, moral dan disiplin, bagi melengkapi proses pembangunan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sepanjang enam tahun mengemudi kerajaan bermula 31 Okt 2003, Abdullah antara lain menggariskan lima teras di bawah pentadbirannya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional, Pembangunan Koridor Ekonomi, Pembangunan Modal Insan serta konsep Islam Hadhari.
Dilahirkan pada 26 Nov 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.
Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai guru, meneruskan pengajian di Universiti Malaya dari tahun 1962 hingga 1964 dalam bidang Pengajian Islam.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Tan Sri Kamaluddin dan Nori.
Bagaimanapun setelah beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara, Endon meninggal dunia pada 20 Oktober 2005 dan Abdullah kemudiannya berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 2007.
Dari segi karier, Abdullah menempa kerjaya yang dinamik sejak memulakan tugas sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1964 dan dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 1969, serta Pengarah Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1971 dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan pada 1975.
Walaupun telah menyertai Umno pada 1965, Allahyarham hanya mula bergiat aktif dalam dunia politik selepas memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-5 pada 1978 dan dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden Umno pada 1984, 1987, 1990 dan dipilih semula untuk jawatan itu pada 1996.
Antara jawatan penting Abdullah dalam Kabinet adalah sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 1980, Menteri Pelajaran (1984), Menteri Pertahanan (1986-1987), Menteri Luar Negeri (1991-1999) selain menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1999.
© New Straits Times Press (M) Bhd