Kuantan: Seekor tapir jantan yang sering kelihatan di Taman Agroteknologi MARDI Cherating mati selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM35 Jalan Kuantan-Kemaman di sini, tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan pada 12.10 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika haiwan berkenaan melintas jalan, sebelum dilanggar sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun.
“Pemandu kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Adli berkata, bangkai tapir yang dianggarkan melebihi 120 kilogram itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Badrol Hisham Mohamad, 44, yang merupakan antara individu terawal berada di lokasi kemalangan berkata, beliau terus menghubungi polis dan Perhilitan supaya tindakan segera dapat diambil.
“Tapir berkenaan dipercayai dirempuh kereta yang dinaiki sekeluarga dari arah Kemaman menghala ke Kuantan berdekatan Taman Agroteknologi MARDI Cherating.
“Ketika kejadian terdapat orang awam yang memberhentikan kenderaan dan membantu mengawal lalu lintas kerana kedudukan tapir berada di tengah jalan dengan keadaan gelap dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya yang merupakan penduduk Kampung Sungai Ular, di sini kepada Bernama.
Taman Agroteknologi MARDI Cherating dalam hantaran di laman Facebook turut berkongsi kisah duka mengenai tapir itu yang merupakan antara keunikan taman berkenaan.
“Hilanglah antara keunikan di Taman Agroteknologi MARDI Cherating dan kehilangan besar buat pencinta haiwan ini.
“Akhirnya pergi tapir yang biasa menyerikan Taman Agroteknologi MARDI Cherating. Tapir ini merupakan haiwan terlindung namun biasa ditemukan mereka yang berkhemah di taman ini,” menurut hantaran itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd