hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis tidak membenarkan penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan akan diadakan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo malam ini atas faktor keselamatan awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.
Menurutnya, pada 3 Februari lalu, polis menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH berhubung perancangan mengadakan perhimpunan aman di lokasi berkenaan pada 7 Februari jam 8 malam.
“Susulan itu, polis menjalankan risikan keselamatan dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang terbabit termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.
“Ketua Polis Daerah Dang Wangi juga mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur himpunan GARAH pada 5 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada 6 Februari, pihak polis menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harisons serta beberapa premis lain di sekitar lokasi berkenaan.
Katanya, bantahan itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang akan mengunjungi premis perniagaan di kawasan berkenaan.
Maklumat risikan turut mendapati terdapat kemungkinan berlakunya pecah keamanan serta ancaman keselamatan kepada masyarakat di sekitar lokasi perhimpunan.
“Keadaan ini dijangka lebih berisiko memandangkan kawasan berkenaan akan dipenuhi orang ramai yang datang membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan,” katanya.
Fadil berkata, hasil pertimbangan menyeluruh serta risikan keselamatan yang dijalankan, polis menjangkakan perhimpunan berkenaan berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang awam.
“Oleh itu, pihak polis membuat keputusan untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan ini,” katanya.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak hadir ke lokasi perhimpunan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau menggugat keselamatan awam di lokasi berkenaan.
“Pihak polis akan memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan awam sentiasa diutamakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan satu himpunan aman dijadualkan di ibu negara pada Sabtu bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.
Himpunan berkenaan dianjurkan oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan bakal diadakan bermula 8 malam di hadapan pekarangan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd


