harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sepuluh mahasiswa diambil keterangan polis hari ini, susulan Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, 25 Januari lalu.
Kumpulan mahasiswa berkenaan dilihat hadir bersama sejumlah penyokong mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguam dan masuk pada 1 tengah hari sebelum keluar hampir dua jam kemudian.
Wakil Sekretariat Rakyat Benci Rasuah Muhammad Zaim Zulkifli Ariff berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa namun menegaskan akan menjawab kesemua 27 soalan yang diajukan hanya di mahkamah.
Menurutnya, tindakan pihak polis merakam keterangan mereka dianggap sebagai satu bentuk intimidasi ke atas kumpulan itu.
“Yang diseret bukan sang perasuah, yang diheret bukan pencuri harta negara tetapi mahasiswa, anak muda yang bangkit menyuarakan tuntutan rakyat, menuntut sebuah negara yang bebas daripada belenggu rasuah dan kezaliman.
“Pada 25 Januari lalu, mahasiswa turun ke jalan bukan kerana mahu mengganggu ketenteraman, bukan kerana mahu menabur fitnah tetapi kerana amanah perjuangan yang mesti dipikul,” katanya kepada pemberita selepas selesai dirakam keterangan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan seramai 10 individu hadir bersama lima peguam bagi dirakam keterangan berhubung perhimpunan berkenaan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah di Kompleks SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka di sini, tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
Sulizmie Affendy dilapor berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima notis pemberitahuan bagi penganjuran himpunan terbabit.
Bagaimanapun katanya, semakan yang dibuat mendapati notis pemberitahuan perhimpunan itu tidak lengkap dengan tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




