nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Semua ternakan yang dibawa masuk ke Kelantan sama ada secara sah atau diseludup akan diperiksa bagi memastikan tiada dadah tersimpan bersama najis binatang berkenaan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ini kerana pihaknya mengesan ada sindiket dadah yang menyembunyikan bekalan barang larangan itu dalam najis binatang bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa.
“Saya sudah memaklumkan perkara ini beberapa bulan lalu apabila mereka (sindiket) menggunakan binatang ternakan untuk aktiviti dadah termasuk lembu, kambing serta binatang ternakan lain.
“Justeru, kita akan menjalankan pemeriksaan terhadap kemasukan lembu sama ada secara seludup atau sah bagi mengekang kegiatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, sindiket pengedaran dadah di Kelantan dipercayai meniru taktik penyeludupan yang digunakan rangkaian mereka di negara jiran, khususnya dengan menyembunyikan dadah dalam najis haiwan.
Menurut sumber, penggunaan kandang ternakan dan sisa haiwan sebagai tempat menyembunyikan bahan terlarang sudah lama digunakan pengedar dadah di Selatan Thailand, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd