Antara hadis mengenai ‘al-malhamah al-kubra’ (perang besar) yang agak terperinci penjelasannya ialah hadis sahih riwayat ‘Abdullah bin Mas’ud RA.
Yusair bin Jabir menceritakan: “Pernah angin merah bertiup kencang di Kufah, lalu datang seorang lelaki yang sudah menjadi kebiasaannya sering berkata: “Wahai ‘Abdullah bin Mas’ud, kiamat telah tiba!” Yusair melanjutkan: “Lantas Ibnu Mas’ud pun segera duduk, sedangkan sebelumnya beliau hanya bersandar, lalu berkata: “Sesungguhnya kiamat tidak akan berlaku sehingga harta warisan tidak lagi dibahagi-bahagikan dan harta rampasan tidak lagi menggembirakan.”
Kemudian, Ibnu Mas’ud mengisyarat dengan tangannya seperti demikian iaitu menunjukkannya ke arah Syam, lalu berkata: “Ada satu musuh yang akan berkumpul untuk menghadapi kaum Muslimin dan kaum Muslimin juga berkumpul untuk menghadapi mereka.” Aku bertanya: “Rom-kah yang tuan maksudkan?” Beliau menjawab: “Ya dan akan berlaku saat peperangan itu serang balas yang amat sengit sekali. Maka, kaum Muslimin pun menyusun sekelompok pasukan berani mati yang tidak akan kembali kecuali dalam keadaan menang. Mereka pun berperang sehinggalah waktu malam tiba menghalang mereka, lalu masing-masing pun kembali berlindung. Dan kedua-dua pihak tiada yang menang, sedang sekelompok pasukan tadi pula habis tewas. Kemudian, kaum Muslimin menyusun lagi sekelompok pasukan berani mati yang tidak akan kembali kecuali dalam keadaan menang. Maka, mereka pun berperang lagi sehinggalah waktu malam menghalang mereka, lalu masing-masing pun kembali lagi berlindung. Dan kedua-dua pihak masih lagi tiada yang menang, sedang sekelompok pasukan tadi pula habis tewas. Kemudian, kaum Muslimin menyusun lagi sekelompok pasukan berani mati yang tidak akan kembali kecuali dalam keadaan menang. Maka, mereka pun berperang lagi sehinggalah tiba waktu malam, lalu masing-masing pun kembali lagi berlindung. Dan kedua-dua pihak juga masih tiada yang menang, sedang sekelompok pasukan tadi pula habis tewas.”
Sambung Ibnu Mas’ud: “Maka, apabila tiba hari keempat, baki kaum Muslimin yang masih ada telah bangkit menentang mereka, lalu Allah pun memberikan kekalahan ke atas mereka. Mereka telah membunuh dengan jumlah pembunuhan yang tidak akan lagi dapat dilihat seumpamanya – atau perawi berkata: yang belum pernah lagi dilihat seumpamanya- hinggakan jika ada burung yang terbang melintasi penjuru-penjuru tempat mayat mereka sahaja pun ia tidak akan mampu melepasi mereka melainkan ia akan jatuh tersungkur mati. Maka, ada kabilah yang menghitung ahli mereka (yang berperang) yang mulanya berjumlah seratus orang, namun mereka tidak menemui orang yang masih hidup daripada mereka kecuali hanya seorang sahaja. Maka, dengan harta rampasan mana yang akan membuat rasa gembira atau harta pusaka mana yang akan dapat dibahagi-bahagi?”
Ibnu Mas’ud meneruskan: “Sementara mereka dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba mereka mendengar pula satu ancaman yang lebih besar lagi daripada itu. Lalu, datang kepada mereka seseorang yang menyeru bahawa Dajjal telah pun muncul di kalangan ahli keluarga mereka. Lantas, mereka pun segera membuang apa-apa yang ada di tangan mereka dan terus bergegas pulang. Kemudian, mereka mengutuskan sepuluh orang pahlawan berkuda ke baris hadapan.” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui nama-nama mereka dan nama-nama bapa mereka serta warna kuda-kuda mereka. Mereka adalah pahlawan yang terbaik di atas muka bumi pada masa itu – atau perawi berkata: antara pahlawan yang terbaik di atas muka bumi pada masa itu.” (Riwayat Muslim)
Meskipun di bahagian awal, Ibnu Mas’ud RA tidak menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW kecuali di bahagian akhirnya namun kita mengetahui bahawa keseluruhan hadis tersebut adalah berasal daripada Baginda SAW. Ini kerana seseorang sahabat tidak mungkin dapat mengkhabarkan mengenai sesuatu perkara ghaib berdasarkan akal fikirannya semata-mata tanpa membabitkan sumber wahyu.
Justeru itu, jelas bahawa ia pasti merupakan hadis yang beliau dengar daripada Nabi SAW.
Demikian juga dalam hadis ini tidak disebutkan nama Imam al-Mahdi sebagai pemimpin kaum Muslimin namun kita dapat memahaminya kerana disebutkan di hujung hadis tentang kemunculan Dajjal.
Dajjal pula dibunuh oleh Nabi ‘Isa AS yang akan turun dan bersolat di belakang Imam al-Mahdi sebagaimana dalam hadis sahih.
Antara perkara menarik yang turut disebutkan hadis ialah penggunaan peralatan perang klasik seperti kuda.
Adalah tidak mustahil jika ia memang berbentuk hakiki, bukan majazi. Ini bermakna tidak mustahil jika akan berlaku pada suatu hari nanti kekurangan sumber tenaga atau kegagalan fungsi sistem teknologi yang menyebabkan peperangan berlaku secara konvensional.
Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd




