am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengumumkan perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 menjelang hujung bulan depan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini kerajaan giat membangun dan menguji mekanisme penyasaran subsidi bagi memastikan ia beroperasi secara lancar apabila dilaksanakan kelak.
Katanya, kerajaan juga sedang memperhalusi data daripada agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Seperti mana yang diumumkan, bila dilaksanakan penyasaran semula subsidi RON95, melalui penggunaan MyKad, rakyat terbanyak akan dapat menikmati harga RON95 yang lebih rendah iaitu pada harga RM1.99 seliter.
“Sementara mereka yang tidak layak untuk subsidi RON95 seperti bukan warganegara perlu bayar harga pasaran tanpa subsidi.
“Untuk itu, kerajaan berusaha memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh diterapkan supaya subsidi RON95 dapat meliputi kelompok yang disasarkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen semalam.
Dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam, kerajaan memaklumkan akan menggunakan data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai rujukan pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memangku tugas Menteri Ekonomi berkata, data membabitkan 30.4 juta profil individu itu akan digunakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sebagai rujukan bagi melaksanakan pemberian subsidi bersasar.
© New Straits Times Press (M) Bhd