KOTA BHARU: Tahanan reman empat beranak yang disyaki pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) disambung selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes membakar dan menanam pelbagai jenis buku berkaitan Al-Arqam dan Abuya di Kampung Panji di sini pada Sabtu lalu.
Perintah sambungan reman bermula esok hingga Isnin itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Kesemua mereka masing-masing berusia 15 hingga 48 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sebelum ini, empat beranak itu ditahan reman tiga hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Mereka dipercayai dicekup di Johor Bahru, Johor pada Selasa lalu sebelum dibawa pulang ke Kota Bharu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pelbagai jenis buku berkaitan doktrin yang dipercayai diperjuangkan GISBH dikesan ditanam dan dibakar berhampiran rumah keluarga CEO syarikat itu di Kampung Panji di sini pada Sabtu lalu.
Puluhan buku yang sebahagian tertera gambar Abuya itu telah ditanam di tepi sungai selepas Ketua Pegawai Eksekutif GISBH ditahan polis pada Khamis minggu lalu.
Sebahagian besar buku tersebut pula dibakar dan keadaan di lokasi pembakaran didapati masih berbau asap semasa serbuan dijalankan.-UTUSAN