Peristiwa tumpuan 2025

Peristiwa tumpuan 2025

TAHUN 2025 diwarnai dengan perubahan geopolitik dunia dengan sebahagian besarnya tertumpu pada konflik di Timur Tengah serta tindakan dan pelbagai pengumuman mengejutkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Berikut adalah 10 peristiwa global yang paling mendapat perhatian pada tahun ini:

Tarif Trump (2 April)

Presiden AS, Donald Trump mengumumkan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara rakan dagang dan duti yang lebih tinggi membabitkan lebih 60 negara termasuk Malaysia.

AS memberi alasan ia bertujuan untuk mengurangkan defisit perdagangan dengan negara asing, namun ia turut mencetuskan kejutan di pasaran global dan perang tarif dengan China.

Konflik sempadan Thailand – Kemboja (Mei – sehingga kini)

Konflik ini berpunca daripada pertikaian wilayah mengenai penandaan sempadan sepanjang 800 kilometer dan runtuhan kuil purba.

Tahun ini, ia kembali memuncak apabila tentera kedua-dua negara berbalas serangan rentas sempadan pada Julai, sebelum dihentikan menerusi Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober.

Namun, ia tidak bertahan lama apabila kedua-dua pihak kembali berbalas serangan pada Disember. Setakat ini, sekurang-kurangnya 96 orang maut, manakala hampir sejuta orang penduduk berhampiran kawasan sempadan terpaksa berpindah ke pusat perlindungan.

Protes di Indonesia (Ogos – September)

Protes dicetuskan kemarahan orang ramai terhadap dakwaan rasuah politik dan tekanan ekonomi, termasuk elaun perumahan kontroversi untuk ahli parlimen.

Bantahan paling ganas berlangsung dari 25 Ogos hingga 9 September. Keganasan memuncak berikutan kematian seorang penunggang Gojek berusia 24 tahun selepas mangsa dirempuh kenderaan Briged Mobil Polis Indonesia semasa rusuhan di Jakarta pada 28 Ogos. Bantahan itu diadakan di beberapa bandar lain di negara itu.

Kim, Putin dan Xi Jinping bertemu di Beijing (3 September)

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengapit Presiden China Xi Jinping pada Perarakan Tentera Hari Kemenangan China di Dataran Tiananmen, Beijing.

Semakin banyak negara iktiraf Negara Palestin (September)

Perancis, Luxembourg, Malta, Monaco, Andorra, dan Belgium secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada sesi Perhimpunan Agung PBB ke-80 (UNGA). Mereka menyertai tindakan sama oleh Kanada, Australia, Portugal dan United Kingdom.

Gencatan senjata di Gaza (10 Oktober)

Selepas kira-kira dua tahun, fasa pertama gencatan senjata Gaza berkuat kuasa. Ia menyaksikan pertukaran tebusan di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel, pengunduran tentera ke Garis Kuning dan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Rompakan di Muzium Louvre, Paris (19 Oktober)

Sekumpulan pencuri melarikan diri bersama barang kemas bernilai €88 juta (MYR 440 juta) Pihak berkuasa sudah menahan empat dalang utama dalam rompakan berkenaan.

Cuaca ekstrem di Asia Tenggara (November – Disember)

Banjir dan tanah runtuh di Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam dan Malaysia susulan cuaca ekstrem.

Jumlah kematian rasmi akibat bencana iklim ini melebihi 1,700 orang di negara-negara yang paling teruk terjejas.

Di Indonesia sahaja, angka korban di tiga wilayah tiga wilayah di Sumatera meningkat kepada 1,135 orang setakat 26 Disember lalu.

Putera Mahkota Arab Saudi melawat Rumah Putih (18 November)

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman mengadakan kunjungan ke Rumah Putih, lawatan pertamanya ke Washington sejak insiden pembunuhan Jamal Khashoggi pada 2018.

Serangan di Pantai Bondi, Sdyney (14 Disember)

Seramai 15 orang terbunuh, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan semasa majlis sambutan Hanukkah di Pantai Bondi.

Salah seorang penembak, Sajid Akram, 50, maut ditembak polis di lokasi kejadian, manakala anaknya, Naveed Akram, 24, kini berdepan 59 pertuduhan termasuk pembunuhan dan keganasan.

Penembak itu juga dikatakan sempat melontar bom paip dan bom tenis semasa kejadian namun ia gagal meletup.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top