Perjalanan lebih 700km ku redah demi himpunan RXZ wanita

Perjalanan lebih 700km ku redah demi himpunan RXZ wanita

am@hmetro.com.my

Kuantan: Minat mendorong tukang masak wanita ini menunggang motosikal sejauh lebih 700 kilometer dari Arau, Perlis ke Cherating untuk menyertai Himpunan RXZ Wanita Malaysia 3.0, hari ini.

Sanira Abdul Hamid, 35 berkata, tiada yang lebih menggembirakannya apabila dapat bersama lebih 350 ahli Kelab RXZ Wanita Malaysia berhimpun dalam program tiga hari dua malam.

“Alhamdulillah, saya tiba di Cherating kira-kira 1 petang semalam kerana bertolak dari Arau pada 6 pagi kelmarin, pada awalnya secara solo sebelum bertemu ahli lain di Jitra, Kedah.

“Boleh dikatakan sepanjang perjalanan hujan tetapi syukur kerana selamat sampai dan berkumpul bersama ahli dari seluruh negeri.

“Apa yang penting, ia memberikan kepuasan kepada saya dan dapat berkongsi pengalaman berharga. Saya juga bersyukur kerana ibu bapa merestui, doakan perjalanan saya,” kata ibu tunggal lima anak itu.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan dan turut dihadiri presiden kelab, Siti Shafida Abdul Ghani.

Siti Shafida berkata, himpunan itu diadakan sempena ulang tahun ketiga kelab terbabit yang ketika ini mempunyai 535 ahli pelbagai latar belakang yang berusia 19 hingga 42 tahun.

Menurutnya, 350 ahli menghadiri himpunan terbabit dengan 70 peratus kehadiran adalah ahli dari Pahang.

“Kita mempunyai ahli pelbagai kerjaya antaranya polis, guru, jururawat, usahawan dan peniaga. Jadi dalam himpunan ini kami dapat berkongsi cerita, lakukan aktiviti bersama,” katanya.

Sabariah pula memaklumkan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua pihak khususnya golongan wanita dalam melaksana aktiviti sihat dan bermanfaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top