Perjalanan lebih eksklusif ke KLIA terminal

Perjalanan lebih eksklusif ke KLIA terminal

PERJALANAN ke lapangan terbang selalunya membuatkan kita risau terlepas penerbangan selain mahu memastikan tiba lebih awal bagi memastikan kelancaran proses sebelum menaiki pesawat.

Buat yang ada urusan kerja di luar negara, terutama golongan pengurusan dan atasan sudah pasti mahu memastikan semua proses mudah dan lancar.

Untuk itu, Mercedes-Benz Malaysia dan Malaysia Aviation Group (MAG) menjalinkan kerjasama strategik bagi menambah pengalaman perjalanan lebih mewah serta nilai tambah lebih baik untuk perjalanan eksklusif.

Buat penumpang Penerbangan Malaysia pergerakan ke Bangunan Satellite dari KLIA Terminal 1 kini dengan pengangkutan lebih mewah dan eksklusif menerusi model Mercedes-Benz antaranya S 580 e Hibrid Plug-in dan model kenderaan elektrik (EV) EQS 500 4Matic.

Perkhidmatan 24 jam itu memastikan penumpang mendapat akses lebih mudah bagi kelancaran dan kelegaan sebelum menaiki pesawat dalam keadaan lebih tenang.

Sesuai buat pelanggan sasarnya, ia juga menawarkan kepada Ahli Enrich Platinum atau Gold pakej yag menarik dengan setiap pembelian model kenderaan jenama Jerman itu selain dijemput ke acara gaya hidup berkaitan.

Malah tidak cukup dengan itu, selepas pembelian pelanggan juga berpeluang diterbangkan ke Jerman bagi melawat ibu pejabat Mercedes-Benz melihat lebih dekat suasana dan teknologi dimiliki mereka.

Kerjasama antara MAG ini bukan sekadar strategi pemasaran, malah membentuk perjalanan masa depan lebih mewah, pengalaman terbaik kepada pelanggan serta kemampanan alam sekitar menerusi penggunaan kenderaan mesra alam dan sifar emisi.

Ia juga mengangkat era baharu dalam industri penerbangan yang mana perlu diambill peluang buat jenama automotif lain mencipta kelainan untuk mengembangkan jenama.

Pendekatan ini bukan sahaja menggabungkan elemen kemewahan dan hospitaliti bertaraf dunia, malah sebagai imej terbaik ditonjolkan terutama buat pelancong dari luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top