JAKARTA – Perjalanan luar negara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kini menjadi perhatian di dalam negara apabila rakyat diarahkan untuk menjimatkan penggunaan bahan api ketika tekanan kos subsidi semakin meningkat akibat kenaikan harga minyak global.
Sejak dilantik pada 20 Oktober 2024, Prabowo dilaporkan telah melakukan 51 lawatan rasmi ke 28 negara, merangkumi lawatan dua hala dan penyertaan dalam forum antarabangsa seperti sidang kemuncak BRICS dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau juga telah menghabiskan sekurang-kurangnya 99 hari di luar negara bagi urusan rasmi.
Antara lawatan terbaharu termasuk ke Rusia dan Perancis, dengan kunjungan ke Paris yang membincangkan kerjasama pertahanan serta peralihan tenaga bersama Presiden Emmanuel Macron.
Frekuensi perjalanan tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat Indonesia, terutamanya apabila kerajaan pada masa sama memperkenalkan langkah penjimatan bahan api termasuk sistem bekerja dari rumah sekali seminggu untuk penjawat awam, pengurangan perjalanan ke luar negara sehingga 70 peratus, serta had pembelian bahan api bersubsidi.
Kerajaan juga membenarkan kenaikan tambang penerbangan domestik namun menetapkan had maksimum kenaikan sebanyak 13 peratus, selain menyediakan subsidi cukai nilai tambah (VAT) bagi tiket kelas ekonomi untuk tempoh dua bulan.
Dalam masa sama, Prabowo mempertahankan lawatannya sebagai usaha memperkukuh kedudukan diplomatik dan ekonomi Indonesia, termasuk mendapatkan jaminan bekalan tenaga.
“Saya mengembara untuk menjaga rakyat saya, untuk mendapatkan pekerjaan untuk mereka,” katanya sebelum ini.
Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut penting bagi memperkukuh rundingan dan mendapatkan akses kepada bekalan minyak serta peluang pelaburan baharu.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak meredakan kritikan dalam talian, apabila sebahagian rakyat mempersoalkan keberkesanan hasil lawatan tersebut terhadap ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
Penganalisis politik pula berpendapat bahawa persepsi awam timbul kerana tiada impak langsung yang dirasai daripada perjanjian antarabangsa yang dimeterai setakat ini, walaupun jumlah lawatan diplomatik meningkat.
Dalam pada itu, terdapat juga pandangan akademik yang menegaskan bahawa diplomasi boleh dijalankan melalui saluran rasmi tanpa kehadiran ketua negara secara kerap ke luar negara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keutamaan dan keberkesanan pendekatan semasa.
Perdebatan ini terus mencerminkan cabaran Indonesia dalam menyeimbangkan diplomasi aktif di peringkat global dengan tekanan ekonomi domestik yang semakin dirasai rakyat.-Agensi



