Perjalanan terakhir Ekspres Selatan, transformasi rel selatan bermula

Perjalanan terakhir Ekspres Selatan, transformasi rel selatan bermula

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Bunyi hon panjang lokomotif ES46 di Stesen Keretapi JB Sentral hari ini menjadi saksi bersejarah penamatan perkhidmatan Tren Ekspres Selatan, yang selama hampir sembilan tahun setia menghubungkan Gemas dan Johor Bahru.

Namun ia bukanlah menutup landskap pengangkutan rel di selatan tanah air, sebaliknya menjadi titik permulaan baharu perkhidmatan rel yang lebih segar.

Tepat jam 6.05 petang, tren ES46 yang membawa seramai 170 penumpang menandakan berakhirnya operasi rasmi laluan JB Sentral–Gemas–JB Sentral yang menjadi nadi pergerakan ribuan pengguna sejak diperkenalkan sejak 2016.

Suasana di stesen jelas diselubungi rasa nostalgia, apabila sebahagian penumpang dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil kesempatan merakam gambar kenangan, mengenang perjalanan yang pernah menjadi rutin harian mereka ke tempat kerja, institusi pendidikan dan destinasi pelancongan.

Pengurus Kanan Wilayah Selatan KTMB, Salim Misdi berkata penamatan perkhidmatan berkenaan bukan sekadar berakhirnya operasi sebuah tren, sebaliknya melambangkan transformasi sistem rel negara seiring kesiapsiagaan infrastruktur baharu di bawah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

“Sepanjang hampir sembilan tahun beroperasi, Ekspres Selatan memainkan peranan penting dalam menghubungkan Gemas dan Johor Bahru serta menjadi pilihan utama rakyat selatan bagi urusan kerja, pendidikan dan perjalanan harian.

“Seiring siapnya infrastruktur rel elektrik berkembar, KTMB kini mengoptimumkan penggunaan sistem moden dengan menstruktur semula perkhidmatan, di mana Ekspres Selatan akan digantikan sepenuhnya dengan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).

“Dengan pengoperasian ETS3 hingga ke JB Sentral, KTMB menyasarkan kapasiti keseluruhan sekitar 3,340 penumpang sehari bagi laluan merentasi sektor selatan dan utara.

“Sasaran ini diterjemahkan kepada anggaran sekitar 1.2 juta penumpang setahun. Ia selaras unjuran peningkatan permintaan perjalanan antara Johor, Lembah Klang dan destinasi utara,” katanya ketika ditemui pada Acara Pelepasan Tren Akhir Perkhidmatan Ekspres Selatan di Stesen Keretapi JB Sentral di sini hari ini.

Melalui perkhidmatan ETS kelak, Salim berkata penumpang bakal menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan moden, masa perjalanan yang lebih pantas, kekerapan tren sehingga lapan perkhidmatan sehari.

Malah katanya masa menunggu yang lebih singkat serta perkhidmatan yang lebih mesra alam, selaras dengan agenda mobiliti hijau negara.

“Peralihan ini bukan penamatan semata-mata, tetapi satu pembaharuan penting untuk memastikan perkhidmatan rel di selatan negara kekal relevan, efisien dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.

“KTMB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penumpang atas sokongan berterusan sepanjang tempoh operasi perkhidmatan Ekspres Selatan,” katanya.

Sementara itu, penumpang tren terakhir, Halim Said, 63, yang pernah bekerja sebagai pembantu trafik di KTMB Gemas Negeri Sembilan, tidak melepaskan peluang menaik tren ES terakhir.

Halim yang ditemani isteri Nor Aini Senawi 52, bertolak dari rumah mereka di Gemas seawal jam 7.40 pagi dengan menaiki kereta api dan tiba di Stesen Keretapi JB Sentral pada 12 tengah hari.

“Saya antara kakitangan KTMB yang berada dalam tren terakhir dari Tanjong Pagar, Singapura dipandu Tunku Mahkota Johor yang kini Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 30 Jun 2011.

“Kali ini, saya juga menjadi penumpang terakhir tren ES yang akan menamatkan perkhidmatannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top