Perjanjian Perdagangan Timbal Balas hanya akan berkuat kuasa selepas Malaysia dan AS saling bertukar notis bertulis – Johari

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas hanya akan berkuat kuasa selepas Malaysia dan AS saling bertukar notis bertulis – Johari

am.hmetro@com.my

Kuala Lumpur : Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) hanya akan mula berkuat kuasa selepas Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) saling bertukar notis bertulis seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 7.2 ART.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertukaran notis bertulis itu adalah untuk mengesahkan bahawa semua proses ratifikasi dalaman masing-masing sudah selesai dan kedua-dua negara bersedia menguatkuasakan ART.

“Kerajaan sedar akan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung kemungkinan terdapat klausa-klausa dalam perjanjian ini yang boleh menyekat kebebasan Malaysia untuk melaksanakan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan serta pembangunan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, yang disiarkan laman web Parlimen semalam.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai kenyataan bahawa ART dengan AS tidak boleh diundur tetapi kerajaan akan meneliti dan merunding semula klausa tertentu yang dirasakan tidak adil.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap klausa-klausa di bawah ART bagi memastikan pelaksanaan komitmen-komitmen yang sudah dipersetujui.

“Ia tertakhluk kepada perkara yang membabitkan Perlembagaan Persekutuan dan dasar-dasar pembangunan negara; Perundangan (Akta dan Peraturan) domestik sedia ada dan komitmen Malaysia dipelbagai forum antarabangsa termasuk perjanjian perdagangan bebas atau FTA.

“Kerajaan ingin menegaskan bahawa perjanjian ART yang sudah ditandatangani masih belum dikuatkuasakan dan kini sedang diteliti secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, kerajaan akan terus kekal komited untuk melindungi kepentingan negara dan memastikan pelaksanaan perjanjian berkenaan tidak menjejaskan hala tuju dasar-dasar sedia ada Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top