am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam lebih menjurus kepada perbincangan mengenai isu semasa.
Beliau berkata, beberapa isu dibincangkan dalam pertemuan yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya, pada malam tadi.
“Perjumpaan dengan Ahli Parlimen BN semalam ia begini, pada hari Isnin saya putuskan nak jumpa dengan PH (Pakatan Harapan), tapi itu biasa.
“Jadi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cadang sebaiknya jumpa juga dengan Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional), jadi saya bersetuju untuk berjumpa Ahli Parlimen BN semalam.
“Mereka (Ahli Parlimen BN) faham dan memberikan kerjasama penuh mengenai beberapa isu termasuk cadangan cukai, banyak khabar angin berkenaan petrol RON95 berdasarkan beberapa cadangan awal yang Jemaah Menteri tidak setuju dan berkenaan badan kehakiman, nanti kita selesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Ketua Cabang PKR Kelantan, Terengganu dan Pahang, di sebuah hotel dekat sini, petang ini.
Ketika ditanya hasil perjumpaan dengan Ketua Cabang PKR negeri Pantai Timur, Anwar menjelaskan ia lebih kepada untuk memperkasakan parti itu.
“Mesyuarat dengan Ketua Cabang itu adalah untuk mendengar pandangan mereka tentang pemilihan pimpinan negeri, tapi saya juga guna kesempatan itu untuk menjelaskan isu-isu semasa bagaimana tindakan kita terhadap rasuah besar yang kemudian menyebabkan kumpulan ini (pembangkang) bersatu untuk menyerang kita, itu yang penting sebab itu bagi mereka soal rasuah itu tidak lagi besar, tapi bagi kita masih isu tatakelola.
“Saya juga bincangkan mengenai pemilihan ketua hakim, saya jelaskan seperti biasa dia ada Akta Suruhanjaya Pelantikan kehakiman (JAC 2019), Perdana Menteri, kemudian Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd