am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) menyanggah dakwaan permohonan penukaran status tanah kampung kepada hak milik kekal yang mereka lakukan adalah sia-sia.
Pengerusi Perkam Abdul Rahim Md Shariff berkata, mereka sudah merujuk Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor dan dimaklumkan tiada halangan untuk menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) daripada hak milik pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal.
Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan permohonan dibuat penduduk sebagai membuang masa dan mustahil untuk direalisasikan tidak timbul.
“Sebelum permohonan (penukaran status) dibuat, Perkam merujuk Ketua Unit Pembangunan Tanah dan Pelupusan, Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor.
“Maklumat yang diperoleh ialah tiada sebarang halangan untuk pemilik-pemilik tanah memohon menukar status TRM daripada hak milik pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal selama-lamanya.
“Keputusan permohonan terletak pada kuasa dan budi bicara Menteri Besar Johor. Pejabat Tanah memaklumkan juga bahawa terdapat banyak TRM yang berhak milik kekal selama-lamanya di negeri ini.
“Perkam membuat pendirian untuk menunggu keputusan jawapan bertulis daripada Pejabat Menteri Besar Johor terhadap permohonan yang diajukan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar menasihatkan penduduk Kampung Melayu Majidee tidak membuang masa memohon pertukaran status TRM daripada pajakan kepada hak milik kekal berikutan ia terikat dengan peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN).
Beliau dilaporkan mengakui isu tempoh pajakan tanah negeri yang hanya berbaki 28 tahun membimbangkan penduduk di situ, namun mustahil untuk mereka melakukan sebarang pertukaran daripada pajakan kepada hak milik kekal.
Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilaporkan masih menanti jawapan berhubung status permohonan TRM hak milik kekal yang dimohon kepada kerajaan negeri sejak tahun lalu.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, Perkam sudah menyerahkan salinan permohonan termasuk segala dokumen petisyen dan surat-menyurat kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sendiri pada 23 April lalu.
Katanya, hal itu dilakukan ketika Onn Hafiz hadir ke Program Semarak Subuh di Masjid Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini.
“Sehubungan itu Perkam meminta semua pemilik tanah Kampung Melayu Majidee terus bertenang dan berdoa sehingga keputusan dibuat oleh kerajaan negeri.
“Marilah kita terus berdoa supaya permohonan penukaran status tanah Rizab Melayu Majidee daripada TRM pajakan 99 tahun kepada TRM hak milik kekal selama-lamanya mendapat pertimbangan yang saksama dan diluluskan, Insya-Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




