hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usaha membanteras penipuan dan jenayah kewangan perlu diperkasakan kepada tindakan pantas bagi mengganggu aliran kewangan haram, melumpuhkan rangkaian jenayah dan mencegah kejadian berulang bukan sekadar pengesanan.
Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, perkembangan teknologi menjadikan penipuan, rasuah, jenayah siber dan pengubahan wang haram semakin saling berkait serta kompleks.
“Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), forensik digital dan analitik lanjutan perlu disokong dengan kepakaran, pertimbangan profesional dan akauntabiliti manusia bagi memperkukuh keupayaan menangani jenayah kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada seminar ‘Fraud & Financial Crime: From Detection to Disruption in the Outcomes Era’ di sini, semalam.
Zamri berkata, kerjasama antara institusi kewangan, pengawal selia, agensi penguatkuasaan, penyedia telekomunikasi serta rakan antarabangsa juga penting dalam memastikan maklumat berpecah dapat digabungkan bagi membentuk gambaran menyeluruh mengenai rangkaian jenayah.
Beliau turut menegaskan peranan MACA dalam memperkasa generasi baharu pegawai penguat kuasa dan pengamal integriti melalui pembangunan kompetensi dalam bidang risikan kewangan, siasatan digital, pemulihan aset, pengurusan risiko rasuah, risiko perolehan serta jenayah kewangan kompleks.
“Strategi mendepani jenayah kewangan pada masa hadapan tidak boleh bergantung pada teknologi semata-mata sebaliknya memerlukan gabungan kepakaran, integriti, kolaborasi dan tindakan tegas bagi memastikan jenayah kewangan lebih sukar dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
