surayaroslan@mediaprima.com.my
DUNIA kerja bergerak pantas, lelaki yang hanya tunggu nasib, lama-kelamaan akan tertinggal.
Kekal relevan bukan sekadar soal jawatan atau gaji, tetapi mengenai kemahiran, stamina dan kemampuan adaptasi yang menentukan siapa ‘survive’ dan ketinggalan.
Lelaki yang serius dalam kerjaya tahu bahawa menaik taraf diri bukan pilihan tetapi keperluan.
Di era automasi dan kecerdasan buatan (AI), pekerjaan berulang dan mudah digantikan semakin berkurang.
Ini bermakna peluang sebenar akan terbuka kepada mereka yang berani mengambil inisiatif, menambah kemahiran dan beradaptasi dengan pantas.
Lelaki yang berjaya bukan sekadar bekerja keras, tetapi pintar memanfaatkan peluang teknologi sambil mengekalkan nilai manusia, kepimpinan, kreativiti, dan komunikasi yang berkesan.
Tips untuk lelaki kekal relevan:
– Kuasai kemahiran susah diganti – Fokus pada AI, data, digital, pengurusan projek atau kemahiran lain yang membuat anda bernilai tinggi dan sukar diganti.
Jangan tunggu syarikat ajar, ambil inisiatif sendiri.
– Fizikal dan mental kuat – Badan sihat, minda tajam, bersenam tiga hingga empat kali seminggu, tidur cukup, kawal tekanan.
Lelaki ‘fit’ bukan saja lebih fokus, tetapi mampu membuat keputusan penting dengan tepat.
– Strategik rangkaian – Kenal mentor dan pemain industri sebenar.
Peluang kerja, projek dan idea baru datang daripada rangkaian yang tepat, bukan sekadar ramai kawan LinkedIn.
– Tambah nilai diri, bukan kejar pangkat – Pangkat datang selepas hasil kerja nyata.
Fokus sumbang nilai untuk pasukan, syarikat dan klien.
– Sesuaikan diri atau mati – Dunia berubah cepat. AI, automasi, dan perubahan pasaran bukan ancaman jika kau fleksibel dan bersedia belajar.
Mereka yang dapat menyesuaikan diri tetap relevan, mereka yang tidak akan ketinggalan.
Selain itu, lelaki relevan juga tahu kepentingan keseimbangan. Fokus pada kerja bukan bermakna abaikan hidup sendiri.
Pengurusan masa yang baik, menjaga hubungan keluarga dan sosial, serta mengambil masa untuk ‘recharge’ mental dan fizikal adalah kunci untuk kekal berdaya saing dalam jangka panjang.
Dominasi atau ketinggalan, pilihan ada pada lelaki itu sendiri.
Lelaki yang bijak memilih untuk terus bergerak ke depan, bukan menunggu peluang jatuh ke tangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




