saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perkasakan golongan muda kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan.
Itu antara intipati perbincangan Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) dalam satu pertemuan yang diadakan semalam.
Pengerusinya Hisham Abdul Hamid berkata, golongan muda kedua-dua negara serumpun ini mempunyai iltizam yang sama untuk memperkasa generasi pelapis negara masing-masing dan ia perlu dilihat dalam konteks menyeluruh.
Katanya, dalam semangat memperkukuh hubungan serantau dan mempererat tali silaturahim antara kedua-duanya, ia menjadi langkah awal untuk kerjasama yang lebih utuh antara dua pertubuhan belia perniagaan dari dua negara jiran serumpun.
“Delegasi turut berkongsi latar belakang organisasi masing-masing, diikuti perbincangan menyentuh pelbagai aspek kepimpinan belia, pemerkasaan usahawan muda serta peranan NGO dalam memperkukuh hubungan dua hala.
“Kita turut berkongsi informasi Gerakan Ekonomi Madani (Gema) yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Apa yang pasti, kita bukan hanya budaya yang sama, tetapi kesungguhan dalam menentukan hala tuju masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, antara topik yang mendapat perhatian termasuklah cabaran perniagaan semasa dalam kalangan belia usahawan, seperti birokrasi rentas sempadan, kesalinghubungan pasaran, serta keperluan kepada ruang sokongan dan latihan yang lebih bersifat praktikal.
Katanya, Dewan Muda turut mengemukakan cadangan untuk mewujudkan platform bersama bagi mempertemukan usahawan muda Malaysia-Indonesia, selain menyarankan program latihan dan pertukaran belia membabitkan institusi pendidikan kedua-dua negara.
“Lawatan ini turut mengambil kira peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi Asean
2025, dan aspirasi untuk memperkukuh suara belia dalam dasar serantau.
“Input yang diperoleh daripada sesi ini akan dimanfaatkan sebagai maklum balas kepada perancangan jangka panjang DPMM Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd