am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kementerian Dalam Negeri meneliti semua cadangan memperkasa keselamatan sempadan negara daripada jenayah rentas sempadan termasuk pembinaan tembok Malaysia-Thailand.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia bagi memastikan sempadan negara benar-benar selamat dan terpelihara bukan sahaja daripada kes penyeludupan dadah bahkan barang larangan lain.
Katanya, kerajaan mengalu-alukan pandangan dan cadangan pelbagai pihak yang dapat menambahbaik kawalan keselamatan di sempadan agar tidak mudah dibolosi.
“Kita juga sentiasa meningkatkan kawalan sempadan dari semasa ke semasa membabitkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) khusus membabitkan penyeludupan dadah.
“Selain itu, agensi penguatkuasa yang menjaga sempadan menyedari (peka) bahawa sentiasa ada helah baharu yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk membolosi sempadan.
“Aspek kawalan sempadan diberi keutamaan oleh KDN dengan bantuan pelbagai agensi penguatkuasaan bukan sahaja di Kelantan, malah di negeri-negeri lain juga,” katanya dalam sidang media selepas Program Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri ke Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakshari Muhammad.
Menurutnya lagi, pemerkasaan kawalan sempadan memberi impak positif terhadap usaha membendung jenayah narkotik apabila statistik tangkapan semakin berkurangan pada Januari hingga Mac lalu.
Katanya, seramai 108,409 individu ditahan kerana penyalahgunaan dalam tiga bulan itu, berbanding 121,170 pada tempoh sama tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




