Perkembangan terkini konflik Asia Barat

Perkembangan terkini konflik Asia Barat

– Penerbangan digantung sementara di Lapangan Terbang Dubai

Penerbangan digantung sementara pada hari Isnin di lapangan terbang Dubai, yang sebelum ini merupakan antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, selepas satu insiden berkaitan dron yang menyebabkan kebakaran berhampiran kawasan itu.

Menurut Pejabat Media pusat kewangan teluk itu, insiden tersebut menjejaskan sebuah tangki bahan api. Mereka kemudian memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah berjaya memadamkan kebakaran dan tiada kecederaan dilaporkan.

– Iran anggap serangan ke atas depot bahan api Tehran sebagai ‘ekosid

Pada Isnini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, serangan Israel ke atas depot bahan api di Tehran merupakan satu bentuk “ekosid” (kemusnahan alam sekitar) kerana risiko jangka panjang terhadap kesihatan penduduk.

– Trump kata sedang ‘berbincang’ dengan Iran

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, Amerika Syarikat sedang berbincang dengan Iran ketika perang memasuki minggu ketiga, namun Teheran masih belum bersedia untuk mencapai perjanjian menamatkan konflik tersebut.

“Tapi saya rasa mereka belum bersedia. Namun mereka semakin hampir,” kata Trump. Menteri luar Iran sebelum ini menafikan bahawa sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat sedang berlaku.

– Macron beritahu Iran serangan terhadap kepentingan Perancis ‘tidak boleh diterima’

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata memberitahu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, bahawa serangan terhadap kepentingan Perancis adalah tidak boleh diterima, selepas sebuah dron rekaan Iran membunuh seorang tentera Perancis di wilayah Kurdistan, Iraq minggu lalu.

“Saya menyeru beliau untuk menghentikan segera serangan tidak boleh diterima yang Iran lakukan terhadap negara-negara di rantau ini, sama ada secara langsung atau melalui proksi, seperti di Lebanon dan Iraq,” kata Macron di platform X selepas panggilan telefon dengan Pezeshkian.

– NATO dan China ditekan mengenai Selat Hormuz

Presiden Donald Trump berkata bahawa NATO bakal menghadapi masa depan yang sangat buruk jika sekutu Amerika Syarikat tidak membantu membuka semula Selat Hormuz, laluan pengangkutan minyak penting yang kini secara efektif ditutup oleh Iran dalam konflik Timur Tengah.

Trump juga berkata sidang kemuncak akan datang di Beijing bersama Presiden China Xi Jinping mungkin ditangguhkan ketika beliau menekan China supaya membantu membuka laluan tersebut.

“Memang wajar negara-negara yang mendapat manfaat daripada Selat itu membantu memastikan tiada perkara buruk berlaku di sana,” kata Trump.

Jepun berkata ia tidak mempertimbangkan untuk melancarkan operasi keselamatan maritim, manakala Australia menolak menghantar kapal tentera laut ke Selat Hormuz susulan kenyataan Trump.

– Israel serang Beirut sekali lagi

Israel melancarkan serangan baharu ke pinggir selatan Beirut lewat Ahad, ketika tentera Israel berkata ia menyasarkan infrastruktur Hezbollah di bandar itu selepas beberapa serangan sebelumnya yang kebanyakannya berlaku di selatan negara tersebut.

Pada pagi Ahad, seorang jurugambar AFP di selatan Beirut melihat jalan-jalan kosong dipenuhi runtuhan dan bangunan yang musnah, dengan asap masih naik daripada serangan hari-hari sebelumnya.

– Israel ada ‘ribuan’ lagi sasaran

“Kami masih mempunyai ribuan sasaran di Iran, dan kami mengenal pasti sasaran baharu setiap hari,” kata jurucakap tentera Israel, Brigadier Jeneral Effie Defrin, dalam taklimat televisyen.

– Panggilan Trump–Starmer

Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer berbincang mengenai kepentingan membuka semula Selat Hormuz yang kini disekat Iran, menurut pejabat pemimpin UK itu.

– Iran naikkan gaji

Menteri buruh Iran mengumumkan kenaikan lebih 60 peratus terhadap gaji minimum, menurut media tempatan, beberapa bulan selepas protes anti-kerajaan yang bermula akibat ketidakpuasan terhadap keadaan ekonomi yang teruk.

– Pasukan PBB ditembak

Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon berkata pasukan pengaman mereka ditembak sebanyak tiga kali, kemungkinan oleh kumpulan bersenjata bukan negara di selatan negara itu, dua hari selepas satu lagi kedudukan mereka diserang.

– Lapangan terbang Baghdad diserang

Lima orang cedera dalam serangan roket ke atas kompleks lapangan terbang Baghdad, yang menempatkan kemudahan diplomatik Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa Iraq.

– Laluan Rafah dibuka semula sebahagiannya

Israel berkata ia akan membuka semula sebahagian laluan Rafah di Gaza yang menghubungkan Mesir pada hari Rabu, selepas menutup pintu masuk penting itu ketika melancarkan serangan ke atas Iran.

– Rizab minyak dilepaskan

Rizab minyak strategik akan dilepaskan serta-merta di Asia dan Oceania, dan seawal akhir Mac di Amerika serta Eropah, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, ketika kerajaan cuba mengekang lonjakan harga akibat perang.

– Iran kata tiada rundingan

Menteri Luar Abbas Araghchi berkata Iran tidak berminat untuk berbincang dengan Amerika Syarikat, menolak kenyataan Trump bahawa Tehran mahu mencapai perjanjian bagi menamatkan perang.

– Rakyat Israel cedera

Sekurang-kurangnya lapan orang cedera di Israel selepas beberapa pelancaran peluru berpandu dari Iran, sekurang-kurangnya dua daripadanya mengandungi munisi kluster, menurut pihak berkuasa Israel.

– Pangkalan Itali-AS diserang

Tentera Itali berkata terdapat serangan dron ke atas pangkalan udara Ali Al Salem di Kuwait yang menempatkan tentera Itali dan Amerika Syarikat, namun semua anggota mereka dilaporkan selamat.

– 850 maut di Lebanon

Kementerian kesihatan Lebanon berkata serangan Israel telah membunuh 850 orang dalam tempoh dua minggu perang antara Israel dan kumpulan militan Hezbollah yang disokong Iran. Mangsa termasuk 66 wanita, 107 kanak-kanak dan 32 petugas kesihatan, dengan 2,105 orang cedera.

– Peluru berpandu Hezbollah

Hezbollah berkata pejuangnya menyasarkan pangkalan udara Palmachim Israel di selatan Tel Aviv dengan peluru berpandu canggih.

– Pegawai Hamas terbunuh

Serangan Israel di kawasan Sidon, selatan Lebanon, membunuh pegawai Hamas, Wissam Taha, menurut sumber daripada Palestin kepada AFP selepas media negara melaporkan serangan ke atas sebuah apartmen.

Serangan semalaman di Sidon dan kawasan berhampiran Al-Qatrani turut membunuh sekurang-kurangnya empat orang, menurut media negara Lebanon dan kerajaan.

Scroll to Top