Sungai Buloh: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan faedah berjumlah RM6.65 bilion kepada lebih 1.15 juta penerima di seluruh negara pada tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata prestasi memberangsangkan itu merupakan kesinambungan kecemerlangan tahun 2024 yang merekodkan penyaluran faedah melebihi RM6.1 bilion sekali gus mencerminkan sistem perlindungan sosial negara yang semakin kukuh dan inklusif.
“Secara perbandingan, ia menunjukkan peningkatan 8.34 peratus (jumlah penyaluran faedah tahun lepas berbanding RM6.1 bilion pada 2024) manakala jumlah penerima faedah meningkat sekitar 5.06 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kita lihat lebih banyak mencarum dan itu paling penting.
“(Dalam usaha ini) saya sangat bangga dengan pencapaian pengurusan PERKESO yang telah memainkan peranan besar dalam mencapai matlamat ini dan mereka telah menjalankan tugas dengan bagus dan baik mengikut tatakelola sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina KESUMA PERKESO LINDUNG 2026 yang dihadiri hampir 7,000 pengunjung, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Mohd Kamri Kamaruddin.
Ramanan berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui PERKESO sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan tiada golongan terpinggir daripada menerima perlindungan sosial.
Bagi memastikan sistem perlindungan keselamatan sosial kekal dinamik dan relevan dengan peredaran semasa, beliau berkata PERKESO telah merencana tiga langkah reformasi dasar yang bakal dilaksanakan pada tahun ini yang akan memberi manfaat besar kepada pekerja.
“Pertama, ialah LINDUNG 24 Jam, supaya perlindungan tidak berhenti selepas waktu pejabat. Musibah bukan ikut punch card, jadi perlindungan pun tak boleh ikut waktu pejabat. Kedua ialah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), ramai anak muda suka kerja fleksibel tapi perlindungan mesti ada untuk lindungi mereka.
“Reformasi ketiga yang juga baru diumumkan ialah Skim Pengembara untuk pencarum LINDUNG Kendiri dengan jangkaan pelaksanaan penuh dalam tahun ini,” katanya.
Sementara itu Ramanan berkata, pada majlis hari ini seramai 15 pencarum serta waris menerima faedah PERKESO merangkumi enam penerima LINDUNG Pekerja, empat penerima LINDUNG Kerjaya, tiga penerima LINDUNG Kendiri dan dua penerima LINDUNG Kasih dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM318,042.84.
Beliau berkata seramai 100 anak yatim yang diraikan menerima angpau manakala 40 pencarum balu dan duda diberikan sumbangan hamper sebagai simbol keprihatinan KESUMA dan PERKESO dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.
“Komitmen sosial turut diperluas menerusi sumbangan kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan dan badan kebajikan di sekitar Sungai Buloh dengan setiap organisasi menerima peruntukan RM10,000 bagi membantu kelancaran pengoperasian mereka dalam menyantuni masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




