am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka perketat penjualan RON95 kepada warga asing menjelang pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tahun ini, menurut penganalisis.
CGS International menjangkakan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pada separuh kedua tahun ini dengan kemungkinan kerajaan akan mengetatkan jualan bahan api itu kepada bukan warga negara.
Ia berkata, menurut laman web Free Malaysia Today, kerajaan bercadang untuk menarik subsidi RON95 daripada kumpulan pendapatan T50 dan menguatkuasakan pengesahan kad pengenalan untuk pembelian RON95 bersubsidi.
“Ia (pengesahan menerusi kad pengenalan) menjadikan pengecualian (subsidi RON95) untuk warga asing lebih berkesan,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, bahawa kerajaan akan tetap melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini.
Beliau berkata, perbincangan berkaitan rasionalisasi subsidi masih berjalan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik untuk pelaksanaan menyeluruh dan adil kepada rakyat.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet sudah berbincang, di mana kita akan meningkatkan tahap kelayakan penerimaan subsidi.
“Yang kedua ialah mekanisme yang akan digunakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, kita akan menggunakan kad pengenalan dan setiap rakyat Malaysia memilikinya,” katanya.
Amir Hamzah juga berkata, buat masa sekarang Kementerian Kewangan sedang mengetatkan lagi sistem bagi membolehkannya digunakan untuk pelaksanaan subsidi RON95.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan merancang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd